Friday, December 31, 2010

2011, adik-adik kandungku...

Tidur jaga tidur jaga, Kelip-kelip mata, seolah-olah tak terasa, betapa pantas berlalunya masa . Sedar-sedar dah berada di ambang tahun 2011. Tahun baru mengikut kalendar Masihi.

Adik-adikku khabarnya sudah membesar. Memang sepatutnya begitu tapi rasa macam mereka masih kecil lagi. Masih seperti dulu. Tekaanku salah. Mereka sudah besar. Dan membuatkanku sebagai abang sulung, terasa sedikit tua (sikit je).. Kita 6 beradik (3 lelaki dan 3 perempuan).

Adikku, Nurul Ihsan. SPM sekali denganku. Kini sudah semester terakhir di Kolejnya. Manakala aku baru tertatih-tatih jejakkan kaki ke tahun 2 di Universiti. Huhu. Pernahku mengajarnya cara memandu kereta. Kini sudah bebas ber'kereta' malah pernah accident kecil. Biasalah tu. Semua orang mesti ada buat silap.

Adik seterusnya, Nurul Iffah. Masa aku SPM, dia hanya tingkatan 1. Kini, dia pula calon SPM 2011. Terkejut aku. Apa-apapun belajarlah sebaik mungkin. Gunakan cara belajar yang paling sesuai dengan diri sendiri. Cuba skor setinggi yang mampu. Ikhlas menuntut ilmu diiringi usaha seberapa mampu dan diakhiri dengan doa dan tawakal. SPM akan menentukan tempatmu di alam Universiti nanti.

Adik seterusnya, Mohamad Arif. Sekarang dah tingkatan 3. (betul ke ?? kalau silap, betulkan.) Adik yang aku selalu buatkan susu botol masa kecilnya dulu, kini sudah sama tinggi denganku. Lebih tinggi rasanya. Mungkin ini hasil keikhlasan orang yang buatkan susu tu kot. Hehe gurau je. Macam tak percaya tapi kena la terima hakikat. Nasihat abang, jadilah abang 'sulung' sementara abang di perantauan. Lelaki itu dijadikan kuat kerana tanggungjawab yang bakal dipikul.

Adik seterusnya, Nurul Izzah. Tingginya sekarang mengatasi ummi. Tahun ni, akan belajar berdikari hidup di asrama. Basuh, sidai dan lipat baju sendiri. Kena bangun awal. Kena belajar urus duit belanja. Dan paling penting, jaga hubungan dengan Allah, kakak2, kawan2 dan muallim muallimah. Harapan abang, bila Izzah balik cuti, rajin-rajinlah tolong ummi dan bukannya melepaskan rindu pada internet dan katil.

Adik bongsuku, Mohamad Anfal. Lahir ketika aku di tingkatan 1. Kini dah besar tapi masih comel insya Allah. Hehe. Kalau sebelum ni mungkin selalu bergaduh kecil dengan kak Izzah, tapi sekarang kak Izzah dah masuk asrama. Tinggal Anfal sorang-sorang dengan Ummi Abah di rumah. Nasihat abang pada Anfal, dengar cakap Ummi Abah dan jangan kuat merayau. Jaga solat dan rajin-rajin belajar.


Ok. Itu saja nasihat abang untuk kali ini. Insya Allah, abang bercadang nak bercuti di Malaysia tahun 2011 ni. Tapi itupun kalau Ummi Abah kata ok. So, tugasan korang semua sekarang :

" Pujuk Ummi Abah biar abang dapat balik Malaysia "

Hehe.. Tu pun kalau adik-adik semua nak abang balik. Kalau tanak, abang stay dulu kat sini (huhu.. sedih..) Takde la. Abang ok je. Balik ok, tak balik pun ok. Insya Allah itu je. Ingatlah abang dalam doa adik-adik. Maaf kalau ada sakit hati pada abang. Kita kosong-kosong ok ?? Assalamualaikum wbt.

Sunday, December 26, 2010

Nota rokok..

Satu hari, semasa basuh tangan selepas makan tengahari di restoran kat sini. Terbaca satu kata-kata dalam bahasa arab yang menarik. Teguran buat perokok. Tertulis di sehelai kertas yang tertampal :

" Kamu (perokok) tuntut hak kebebasan kamu untuk merokok...

Tapi kami juga nak tuntut hak kami, hak menyedut udara yang bersih... "

Sebagai ahli dalam masyarakat, kita perlu tunaikan hak-hak setiap ahli yang wujud. Contoh yang mudah kita ambil, situasi di jalan raya. Kenapa kita perlu berhenti time traffic light merah ?? Kerana kita tunaikan hak orang lain untuk bergerak.


Ada satu iklan tv yang best. Di suatu petang, ada sekumpulan remaja lelaki bermain street soccer di kawasan perumahan. Dengan keasyikan mereka bermain, satu rembatan kuat dihayunkan. Bola itu melambung lalu menyebabkan tingkap sebuah rumah pecah.

Mereka di situ ketakutan. Risau. Salah seorang daripada mereka, memberanikan diri bertanggungjawab di atas kesalahan mereka. Pintu diketuk. Seorang makcik tua muncul di pintu. Makcik itu tenang saja. Malah menjemput lelaki itu masuk rumah.

Dia dihidangkan secawan kopi dan sebatang rokok. Setelah itu, bola dipulangkan dan lelaki itu beredar seolah-olah tiada apa yang berlaku. Kemudian di akhir iklan itu terpampang :

" Rokok Membunuh "

Motif iklan, nak menyampaikan bahawa makcik tua itu sebenarnya ingin memberikan mudharat kepada lelaki tadi dengan memberi rokok.

Wallahu a'lam. Jadikan tahun 2011 yang bakal menjelang tiba ini, satu titik mula untuk berhenti merokok bagi yang terbabit dalam masalah ini. Mungkin boleh rujuk doktor2, bekas2 perokok dan murabbi sebagai langkah permulaan.

Ingat !! Rokok membunuh. Rokok merosakkan dan mencemarkan. Merokok itu haram.
Alhamdulillah, aku bukan perokok dan insya Allah tidak akan merokok... never a smoker and won't be..

Atas belas kasihan terhadap sahabat2ku yang merokok, aku menulis...

try buka video ni : http://www.youtube.com/watch?v=mMW7Acj13LE&feature=related

Sunday, December 19, 2010

Sepenting A.B.C

Bismillah. Alhamdulillah.. dengan izin dan inayahNya, dapat juga ana cuba untuk konsisten dalam meng'update' blog. Walaupun ana tak pasti dan yakin yang, ada tak orang yang sudi baca tulisan ana. Allah lebih mengetahui.

Tapi insya Allah, ana tetap akan terus menulis. Mungkin post-post di blog ini tahap dan levelnya boleh dikatakan rendah. Ana rasa ini kelemahan ana. Buat masa ni, masih rasa tidak yakin untuk kupas sesuatu yang besar, misalnya permasalahan dalam berdakwah, politik, isu-isu semasa dll.

Tentang itu, doakan ana diberikan ilmu, kemampuan serta keyakinan untuk mengupas isu-isu sebegitu pada masa akan datang. Amin insya Allah. Satu perkara kita perlu ingat, ramai orang gagal dan berubah ke arah yang kurang baik kerana mereka tidak mengendahkan aspek-aspek asas @ level rendah.

* * *

" Aku ikut tarbiyah dah lama, tak perlu la nak belajar lagi pasal aqidah.. "

" Anta ni selalu cakap pasal ikhlas dan ibadah hati je... tu kan kita dah belajar time form 1. Tak usah kita ulang. Masa makin singkat. Sekarang ni, kita perlu fokus nak bina daulah. "

* * *

Ini antara contoh (yang ana reka) yang mungkin berlaku di kalangan kita sendiri. Kalaupun ia tidak pernah dituturkan dengan lidah, barangkali pernah tersinggah jauh di lubuk hati.

Benar. Ada segelintir orang yang hebat ceramahnya, mantap ilmunya, ramai pengikutnya tapi dalam masa yang sama, ramai juga orang yang berasa hati dengannya kerana kurangnya akhlak dan adab. Tiada tazkiyah diri. Dirasakan dirinya hebat dan dakwahnya berjaya. Timbullah tunas-tunas takabbur. Padahal Iblis dilaknat Allah kerana sifat takabbur itu.

gambar hiasan

Ada juga orang yang semangat berdakwah kepada orang lain, dalam masa yang sama jiwanya tidak terisi, amalnya tidak setimpal dengan keperluan rohani, kesannya pabila diri sedikit diuji, dia lantas putus asa, futur dan terus meninggalkan dakwah bahkan ada yang sampai memusuhi dakwah. Na'uzubillah..

* * *

Bagaimana kita ingin membaca, menulis surat ataupun mengarang novel jika kita tidak menggunakan huruf ABC (A to Z) apatah lagi jika kita tidak kenal apa itu huruf ABC ??

Sedar tak sedar, kita masih lagi gunakan asas ABC yang kita belajar sewaktu tadika dulu. Tidak ada seorang pun, hatta Profesor Universiti yang hebat tesisnya tapi lupa asas huruf ABC. Begitu juga dengan nombor-nombor. Jadi, pentingkah kita menguasai asas-asas itu, lantas menggunakannya setiap masa ?? Penting bukan...



* * *

Kita lihat bagaimana Rasulullah s.a.w mendidik para Sahabat di Makkah. 13 tahun sahaja demi membina asas kefahaman yang benar dan Iman yang kukuh. Kesannya hatta kita di Malaysia menerima cahaya Islam.

Dan pada tahun 1924, Khilafah Islamiyyah jatuh. Sebab apa ?? Sebab umat banyak penyakit. Tamakkan harta, kuasa, tidak berakhlak, hati kotor dan macam-macam lagi. Umat yang berpenyakit tidak layak memimpin dunia. Ini hikmah di sebalik kejatuhan itu.

Kesimpulannya, perkara yang dirasakan rendah dan tiada standard ni la merupakan antibodi, yang akan melawan segala penyakit hati dan jiwa. Ia juga merupakan satu sumber tenaga yang akan memacu kerja-kerja dakwah kita dengan lebih laju. Malah ianya antara sebab kita thabat di jalan ini.

Akhir kalam, Jangan pandang lekeh. Berikan tanbih (perhatian). Pastikan ia sentiasa bertakhta di minda dan di hati sebagaimana huruf ABC tadi. Wallahu 'alam...

Sunday, December 12, 2010

Tinggikan target

Situasi 1 :

Man, camane keputusan exam lepas, ok tak ??

Okla, ada 4 subjek gagal. Kena ulang tahun la aku.. huhu

Ala.. biasala tu, ramai je ulang tahun.. hehe

Situasi 2 :

Nas, camane keputusan exam lepas, gempak tak ??

Alhamdulillah, semua lulus. Insya Allah dapat naik tahun.

Pergh !! mantap betul anta.. lulus bersih..

* * *

Perbualan seperti di atas boleh dikatakan selalu kita dengar. Tapi ada satu kekurangan dan kelemahan yang kita perlu ubah. Kelemahan dari segi meletakkan target.

Keadaan kita sekarang, lulus bersih semua subjek dianggap sesuatu yang 'luar biasa'. Malah terpaksa ulang tahun telah menjadi 'fenomena biasa' bagi majoriti pelajar. Perkara sebegini lebih kepada mahasiswa di Timur Tengah (mengikut pemerhatian ana).


Bukan lagi target mereka untuk lulus semua subjek, tapi targetnya untuk dapat naik tahun sambil membawa 'hutang' subjek-subjek yang gagal. Ini kerana terdapat sebahagian universiti yang membenarkan para pelajarnya naik tahun walaupun 2 atau 3 subjek gagal dengan syarat ianya hutang (perlu diluluskan).

Antara alasan yang kita berikan : " bahasa arab susah " , " orang arab blh la, kuat ingatan " tapi hakikatnya kita kurang bersungguh, suka study last minute, malas, banyak buang masa dll.

Sepatutnya kita jadikan gagal dan ulang tahun ni sesuatu yang 'luar biasa' dan fenomena lulus cemerlang itu sesuatu yang biasa. Tapi sekarang keadaan terbalik. Orang yang cemerlang dikira Ghuraba'. Hm.. jadilah Ghuraba' !!

Kalau kita gagal beberapa subjek, terpaksa ulang tahun setelah kita berusaha, ini kehendak Allah. Cuma jangan sesekali meletakkan target yang rendah. Tinggikan target kerana semakin tinggi target, semakin tinggi yang kita dapat. Jangan mudah berpuas hati dengan keputusan exam yang kita dapat.

Tanya diri kita. Bila kita main game counterstrike sebagai sniper. Apa yang kita target ?? Target kaki ?? Tangan ?? Perut ??

" Apa barang target perut. Kita target kepala la. Baru headshot. "

Memang tembak perut, musuh akan mati tapi bila kena kepala, kepuasan tak terhingga. (ana jarang main game ye..) Praktikkan ia dalam menentukan target kecemerlangan.

Finally, Tinggikan target begitu juga dengan usaha. Jangan mudah rasa cukup. Berlumba untuk jadi cemerlang. Cemerlang untuk umat dan Islam. Insya Allah. Allahu Akbar !!

Friday, December 10, 2010

Sesi Baru...

Alhamdulillah..
Segala puji bagi Allah...
Kerna inayahNya serta belas...
Diberikanku lulus imtihan lepas...
Fasli demi fasli...
Kini aku mustawa thani...

Cabaran, dugaan, onak dan duri...
Melawan itu, azamku perlu meninggi...
Juzu' Qur'an makin bertambah...
Huraian fiqh bakal bercambah...
Harap diriku tak mudah mengalah...
Jadikanku Ya Rabb, pemuda tabah...

Sesi yang lalu, jadikan muhasabah...
Sesi yang baru, tingkatkan mujahadah...
Tinggikan target, jangan rendah-rendah...
Tak kira yang senang ataupun susah...

Tahun baru, buku amal baru...
So, amalan pun perlu diperbaharu..
Ingat Allah, tempat mengadu...
Jangan lupa, senyum-senyum selalu...

Selamat Tahun Baru
Ma'al Hijrah 1432 H

Sunday, December 5, 2010

Ibadah Hati : Tawakal

Pergantungan hati yang benar ke atas Allah s.w.t, dalam mendapatkan kebaikan dan menolak kemudharatan dalam urusan dunia dan akhirat, setelah berusaha dan mengambil sebab. Itulah definisi Tawakal.

Mampukah seseorang yang lapar untuk kenyang jika dia hanya berehat di biliknya sahaja tanpa berbuat apa-apa ?? Tidak mampu bukan. Nak tak nak, dia perlu keluar dari biliknya, mencari makanan dan makan. Setelah itu, insya Allah dia akan kenyang.

Tiada satu perkara pun yang tidak mampu Allah buat. Allah mampu jadikan seseorang itu kenyang tanpa makan. Namun Allah lebih suka lihat kita berusaha, bekerja untuk mencapai sesuatu perkara. Kesan baiknya, kita juga yang akan dapat. Seperti dalam surah Maryam ayat 25, Allah berfirman :

وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا

Allah memerintahkan Maryam untuk cuba menggoyang sebatang pohon kurma sebagai mengambil sebab gugurnya buah dari pohon itu. Inilah pentingnya berusaha dan bekerja.

Ada sebuah hadis Rasulullah s.a.w :

عن عمر بن الخطاب قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول
لو أنكم توكلتم على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير تغدو خماصاوتروح بطانا


Daripada Umar Al-Khattab berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : [[ Jikalau kamu bertawakkal kepada Allah sebenar-benar tawakkal, Allah akan memberi rezeki kepadamu sepertimana rezeki seekor burung, yang keluar waktu pagi dalam keadaan lapar dan pulang di petang hari dengan kenyang ]]



Di sini, ada satu kaedah penting yang kita perlu ingat. Rezeki pasti datang pada kita sebagaimana kematian. Kita yakin bahawa tiada siapa yang boleh lari dari maut, begitu jugalah dengan rezeki. Rezeki akan sampai juga pada kita walau sejauh manapun kita lari. Benar, tiada siapa mampu elak daripada menerima rezeki.

Kerna apa ??

Semasa roh kita ditiupkan ke janin di perut ibu, Malaikat telah menulis beberapa perkara yang ditakdirkan ke atas janin itu. Antaranya ialah kematian dan rezeki. Jadi yakinlah, di mana sahaja, rezeki kita sudah tertulis.

Firman Allah dalam surah At-Tholaq ayat ke-3 :

ومن يتوكل على الله فهو حسبه

Maksudnya : dan Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, Dia akan mencukupkan (keperluannya).

Ada satu kisah menarik. Kisah Imam Ali dengan tali pengikat kudanya (tali yang diikat di mulut). Suatu hari Imam Ali ingin menunaikan solat di dalam masjid. Beliau telah meminta tolong seorang budak untuk menjaga kudanya sementara beliau bersolat.



Seusai solat, niat Imam Ali ingin memberikan 2 dirham kepada budak itu sebagai upah menolongnya. Tapi malangnya, beliau mendapati hanya kudanya sahaja yang ada. Budak tadi dan tali pengikat kudanya telah hilang. Jelaslah budak itu mencuri. Beliau ingin menunggang kudanya, namun mana mungkin menunggang kuda tanpa tali pengikat itu.

Imam Ali menuju ke pasar untuk membeli tali yang baru. Kemudian beliau terjumpa tali yang diperlukan. Diselidik betul-betul tali itu, memang benar itulah talinya yang telah hilang. Beliau membeli tali itu dengan harga 2 dirham.

"Aku ingin memberikan 2 dirham padanya secara halal, tapi dia mengambilnya secara haram. " kata Imam Ali.

- Tamat -

Perhatikan. Jika budak itu bersabar dan bersifat amanah, 2 dirham akan diperolehinya dengan cara halal.Tapi kerana dia tidak amanah lalu mencuri, 2 dirham juga habuannya. 2 dirham yang haram. Bilangan yang sama cuma caranya berbeza.

Rezeki budak itu sudah ditakdirkan sebanyak 2 dirham. Namun, dengan cara tidak halal, dia akan sentiasa gelisah, berdosa, doanya tidak dilayan Allah dll. Dengan rezeki yang halal, kita rasa senang hati, diberkati dan disayangi Allah.

Yakinilah prinsip ini :

علينا أن نعبده كما أمرنا وعليه أن يرزقنا كما وعدنا

" (Menjadi kewajipan) atas kita kita untuk menyembahNya sebagaimana kita diperintahkan, dan (menjadi kewajipan) atasNya (Allah) untuk memberi kita rezeki sebagaimana kita dijanjikan. "

Satu perkara yang penting, kita bertawakkal kepada Allah bukan dalam bab rezeki sahaja. Rujuk definisi tawakkal di atas tadi. Kita bertawakkal dalam semua perkara, sama ada mendapatkan kebaikan ataupun menolak mudharat. Seperti kita makan ubat, tawakkal untuk sihat, kita pakai tali pinggang keledar, tawakkal untuk selamat dalam perjalanan dll.

Bertawakkallah.. Wallahu 'alam..