Sunday, January 2, 2011

Ibadah Hati : Redha dan berserah

Post Ibadah Hati yang lepas mengenai Tawakkal. Setelah kita bertawakkal, sesuatu keputusan atau ketentuan terjadi, ,maka ada satu lagi tindakan perlu kita ambil. Itulah REDHA.

Redha dan berserah kepada Allah di atas segala yang berlaku, baik mahupun buruk. Izinkan ana gunakan ejaan 'redha' kerana ejaan yang betul dalam bahasa melayu ialah 'reda'.

Pertama sekali, kita kena sedar siapa kita di sisi Allah. Kita adalah hambaNya. Tidak lebih dari itu. Apakah seorang hamba boleh mengingkari arahan tuannya, apatah lagi pantas menghina ?

Tapi itulah yang berlaku pada kita selaku manusia. Ada yang bila ditimpa musibah seperti kematian orang tersayang, tidak boleh menerima hakikat itu. Dengan berani dan lupa diri, dia menyalahkan Tuhan kerana mengambil nyawa orang kesayangannya. Padahal Tuhan memiliki segalanya. Nyawa kita juga milik Allah dan Allah berhak mengambilnya bila-bila masa.

Tentang rukun Iman, antara isi sabda Baginda s.a.w :

الإيمان بالقدر خيره وشره

[beriman dengan Qadar (ketentuan Allah) baik dan buruk.]

Memang kelemahan kita. Diberikan nikmat, sangat redha akannya. Ditimpakan musibah, sukar terima kenyataan (tidak redha). Itu tanda iman kita lemah. Sepatutnya kenikmatan mahupun musibah, kita terima semuanya. Selaku manusia, pengetahuan kita terlalu cetek. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Satu contoh ana berikan.

Seorang usahawan yang sangat kaya. Perniagaan bertambah untung hari demi hari. Sehingga satu masa, dia hadapi masalah lalu diisytihar muflis. Sedih tak terhingga. Pada pandangannya, ia keburukan semata. Tiada langsung kebaikan.

gambar hiasan

Tetapi Allah lebih sayangkan hambaNya itu. Allah tahu jika dibiarkan perniagaannya maju, itu penyebab dia menjadi ahli neraka. Kerana itu, Allah mentakdirkan dia muflis di dunia supaya tidak begitu di akhirat kelak. Lihat sejauhmana rahmat Allah. Syurga Allah bukan murah. Pengorbanan yang 'mahal' dituntut.

Ada satu kisah. Seorang muslimah berjalan di jalanan yang tidak rata. Tiba-tiba muslimah itu jatuh terlanggar batu. Kakinya cedera sehingga tercabut kuku jari kaki. Darah mengalir. Muslimah itu bangun, lihat kecederaannya lalu tersenyum. Orang-orang yang melihat insiden itu berasa sangat pelik. Salah seorang bertanya kepada muslimah itu. Lalu dijawab :

" Sukar untuk aku jelaskan. Tapi aku rasakan suatu kemanisan. Kemanisan redha dan pahala telah mengatasi rasa sakit ini. Aku suka apa yang Allah pilih dan tetapkan pada aku. "

Susah nak dibayangkan keadaan ini. Tahap redha dan berserah kepada Allah sangat tinggi. Kemanisannya menghilangkan kesakitan. Semua yang berlaku (ketentuan Allah) dirasakan terbaik untuknya. Sehingga ada seorang salafussoleh terluka di tangannya. Dia senyum lalu berkata :

" Alhamdulillah, aku hanya terluka di tangan. Bukan di mata. "

Mereka sangat berfikiran positif. Tapi kini ramai yang sebaliknya. Gagal dalam peperiksaan dirasakan seolah-olah tiada lagi harapan. Fikirlah positif. Berusaha. Hasilnya nanti kita redhai.

Kisah terakhir. Ada 3 orang bersembang sesama mereka. Berbual tentang panjang-pendeknya umur. Mana lebih baik. Masing-masing keluarkan pendapat sendiri.

" Aku harap umurku panjang. Sebab aku nak gunakannya untuk banyakkan ibadah aku, bersolat, sedeqah dan macam-macam lagi. Jadi jika diberi peluang, aku nak hidup lama." kata orang pertama.

" Aku harap umurku pendek. Sebab aku khuatir jika hidup lama, aku terdedah kepada fitnah dunia lantas banyak melakukan dosa dan maksiat. Aku pilih mati awal sebelum dosa aku makin bertambah. " jelas orang kedua.

gambar hiasan

Orang ketiga diam berfikir. Mereka berdua tertanya-tanya apa yang bakal dikatakan. Dengan menarik nafas panjang, katanya :

" Aku meletakkan panjang atau pendeknya umurku pada Allah. Kerna Allah lebih tahu yang terbaik. Aku redha dengan apa yang Allah redha padaku. "

Itulah jawapan paling tepat. Redha dan berserah sepenuhnya pada Allah. Dalam semua sudut. Hidup mati, berjaya gagal, susah senang, sihat sakit dll. Siapa kita berbanding Allah untuk tidak setuju dengan ketentuanNya ?? Atau dalam bahasa kasarnya " cermin diri dulu la !! "

Namun bukan redha dengan maksiat yang kita lakukan. Bukan juga redha dengan kezaliman musuh terhadap kita. Ingat itu. Tiada istilah redha dengan kebatilan dan thaghut. Tiada istilah baik dalam melakukan dosa. Syaitan bijak memutarbelitkan. Itu bukan redha tapi putus asa. Itu bukan petunjuk iman tapi telunjuk nafsu.

Redha dalam erti kata yang sebenar. Redha dan berfikiran positif. Redha dengan kegagalan tapi pantang mengalah. Malah berusaha untuk berjaya selagi mana peluang itu ada. Alhamdulillah, redha dan berserah saja dikira ibadah di sisi Allah dan bakal diganjari pelakunya. Insya Allah, sama-sama kita amalkan. Wallahu 'alam..

0 comments: