Monday, November 29, 2010

Kepandaian berbeza

Satu hari seorang profesor bijak pandai sedang menyeberang sebatang sungai yang luas dengan sebuah sampan yang didayung oleh seorang pakcik pendayung.

Di tengah perjalanan, berlaku sebuah dialog antara mereka berdua.

Profesor : Kamu pandai menulis dan membaca ??

Pendayung sampan : Tidak tuan, saya buta huruf.

Profesor : Oh, kamu sudah kehilangan separuh daripada kehidupan kamu. Orang buta huruf telah hilang separuh keupayaan untuk hidup dengan berjaya.

Sampan terus bergerak meredah sungai yang luas itu. Sejurus kemudian,


gambar hiasan.


Profesor : Kamu ada buat simpanan wang untuk masa depan ??

Pendayung sampan : Tiada tuan, pendapatan saya cukup-cukup makan.

Profesor : Kalau begitu, kamu hilang lagi separuh daripada kehidupan kamu. Mana mungkin orang tidak menyimpan wang boleh hidup dengan selesa pada masa tua nanti.

Sampan terus bergerak. Tiba-tiba, sampan itu terlanggar bucu sebuah batu dan bocor. Air mula memasuki sampan.

Mereka berdua bergegas mengambil apa jua bekas untuk mencedok air keluar dari sampan. Namun usaha mereka tidak berhasil kerana air begitu deras masuk. Tenyata sampan itu akan tenggelam !!

Dalam keadaan cemas itu, si pendayung bertanya.

Pendayung sampan : Tuan! tuan pandai berenang ??

Profesor : Er, er, saya tidak tahu berenang. (panik)

Pendayung sampan : Kalau begitu, tuan akan kehilangan seluruh hidup tuan!!.

-Tamat-

Pengajaran :

Allah tidak jadikan manusia ini bodoh, tetapi Dia jadikan setiap orang mempunyai kepandaian yang berlainan. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Jadi, tiada manusia yang bodoh, yang ada hanya kepandaian yang berbeza.

*dipetik dari Majalah Solusi.

Tuesday, November 23, 2010

Ibadah Hati : Ikhlas

Rasanya ramai dah tahu apa itu ikhlas. Ianya jadi masalah ketika kita kurang rasa pentingnya Ikhlas dalam setiap amalan kita.

Ikhlas ni boleh difahami dengan maksud : tulen. Contoh, kalau cincin emas, ada yang emas tulen dan ada juga yang emas celup. Emas tulen sangat bernilai dan kekal keemasannya, manakala yang celup, akan tertanggal juga celupan emas itu.

Persoalannya, adakah ikhlas kita selama ini ikhlas tulen ataupun hanya ikhlas celup ?? Ataupun tak ikhlas langsung ?? Benar, Memang hati mudah berubah. Kadang-kadang kita ikhlas pada awalnya, tapi bila dipuji orang, mula timbul perasaan yang bukan-bukan. Rasa seronok orang tahu, bangga dll.

Hati kita seperti besi. Mudah berkarat jika terdedah kepada keadaan-keadaan tertentu. Jika muncul karat-karat riya',bangga, takabbur dan semua yang sejenis dengannya, ia perlu dikikis. Kita perlukan 'minyak gris' untuk buang karat-karat itu. 'Minyak gris' bagi hati ialah istighfar..

Bayangkan sepasang pengantin baru, menerima berpuluh-puluh kotak hadiah dari kenalan mereka. Setiap kotak hadiah terhias begitu menarik, warna-warni, siap dengan riben lagi. Tak sabar mereka nak tahu apa di dalamnya. Kotak-kotak hadiah mula dibuka. Apa yang ada di dalam kotak-kotak tu ?? Jeng jeng jeng...

Didapati tiada apa di dalam semua kotak tersebut. Hanya kotak hadiah kosong. Berhargakah hadiah sebegitu rupa ??

Tentulah tidak berharga. Mungkin semua kotak hadiah itu bakal disumbatkan dalam tong sampah. Pasti muncul rasa kecewa, rasa seperti dipermainkan dll. Bahkan kita lebih gembira mendapat hadiah tanpa dibalut dengan kotak yang indah berbanding situasi menimpa sepasang pengantin tadi.



lakukanlah setulus hati...

Begitu jugalah keadaan Ikhlas. Jika ibadah kita dilakukan tanpa ikhlas kerana Allah, ia ibarat kotak hadiah yang indah di luar tapi kosong di dalam. Mahukah ibadah sebegitu kita persembahkan pada Allah nanti ?? Katakan tidak !! Oleh itu, Penuhkan hadiah kita pada Allah dengan ikhlas keranaNya.

Ikhlas merupakan syarat sesuatu amalan itu diterima Allah. Nak tak nak, kita perlu berusaha untuk ikhlas dalam amalan. Agar segala penat lelah kita berbaloi dan membuahkan hasil. Hasil yang akan dituai di syurga kelak. Insya Allah.

Kita biasa dengar orang kata "ambillah benda ni, saya ikhlas". Tapi ikhlas tempatnya di hati. Kata orang itu belum tentu benar. Tapi kita perlu bersangka baik padanya kerana tiada siapa tahu apa yang ada di hati kecuali Allah. Seperti dalam lirik nasyid UNIC :

Di hati ini hanya Tuhan yang tahu...

Ana akhiri post kali ini dengan firman Allah di dalam surah Al-An'am, ayat 162-163, yang kita selalu lafazkan dalam doa iftitah sewaktu solat.

{قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ, لا شَرِيكَ لَه}

Tuesday, November 16, 2010

Ibadah Hati : Muqaddimah

Sebagaimana yang kita maklum, tujuan kita diciptakan adalah untuk beribadah kepada Allah s.w.t . Ramai yang tahu akan kewajipan menunaikan solat, bahkan mereka dan kita telah mengerjakan solat fardhu 5 waktu sehari. Tapi kemungkaran, tidak juga tercegah. Kenapa ??

Aspek terpenting dalam ibadah yang semakin dilupakan, ialah ibadah Hati. Ini kerana hati adalah Raja di dalam diri. Bagaimana sesebuah negara itu akan teratur, aman dan bertambah maju jika hanya rakyatnya sahaja yang bekerja keras sedangkan Raja atau pemimpin mereka bergoyang kaki ??
Begitu jugalah diri kita. Hati kita juga perlu bekerja. Bahkan lebih bekerja keras daripada anggota badan lain. Sabda Rasulullah s.a.w :

[[Akan tetapi Allah s.w.t melihat kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu ]]



hati perlu bekerja...


Merujuk hadis Baginda s.a.w di atas, Allah menilai hati kita terlebih dahulu kemudian barulah amalan. Persoalannya, adakah ibadah Hati, kita berikan perhatian sebagaimana ibadah anggota badan lain ?? Dalam sebuah lagi hadis Baginda s.a.w bersabda :

[[ Taqwa itu di sini (menunjukkan ke dadanya 3 kali) ]]

Taqwa itu produk Hati. Tiada yang dapat menghasilkan produk itu kecuali hati. Dengan Taqwa, kemungkaran tercegah. Dengan Taqwa, amal ibadah kita diterima Allah. Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 27 yang berbunyi :

[[ Sesungguhnya Allah menerima (amalan) daripada mereka yang bertaqwa. ]]

Kesimpulannya, kita perlu menitikberatkan ibadah Hati tanpa memandang remeh ibadah pergerakkan badan. Sebagai contoh, dalam solat kita perlu khusyu'. Anggota mana yang bertindak mencapai khusyu' ?? Tentulah hati.

Jika solat tanpa khusyu', maka matlamat utama dari solat itu sangat sukar dan boleh jadi mustahil untuk direalisasikan. Oleh itu, khusyu' adalah salah satu daripada ibadah-ibadah hati yang perlu dijaga.

Insya Allah pada post-post yang akan datang, ana akan cuba untuk huraikan sekadar yang mampu tentang ibadah-ibadah hati. Cukuplah ini sebagai muqaddimah. Wallahu 'alam. Mula gerakkan hati !!

Saturday, November 6, 2010

Cabaran Ulama'

Ada sebuah kisah yang dikongsikan seorang ikhwah, pada ana dan sahabat-sahabat yang lain. Kisah benar . Ambillah iktibar darinya :

Sebuah negara yang ditadbir seorang pemerintah yang fasik .Di sana, terdapat seorang ‘alim yang sangat disegani lagi dihormati (maaf, tak ingat namanya). Setiap saranannya dalam bab agama, pasti dituruti masyarakat kerana ilmu dan hujahnya yang kuat berdasarkan Al-Qur’an dan Sunnah.

Khabar tentang pengaruh orang ‘alim itu sampai ke telinga si pemerintah. Baginya, ia satu peluang keemasan demi menjayakan segala tuntutan hawa nafsunya.

Untuk menjadi sebuah negara maju(pada pandangan Barat), perlu ada pembaharuan dari segi cara pemakaian masyarakatnya. Perlu didedahkan aurat-aurat rakyatnya.Pemerintah itu sangat pantang jika permintaannya ditolak. Setiap arahannya, wajib dipatuhi. Jika ada yang mengingkari, pasti dihukum seberat-beratnya. Diarahkan polis-polis menyampaikan arahannya terhadap orang ‘alim itu.

Arahan tersebut :

Mengeluarkan satu kenyataan ataupun fatwa yang membenarkan, aurat lelaki dan perempuan dilonggarkan dan didedahkan demi mencapai kemajuan negara.

Orang ‘alim itu sangat berat menerima arahan sedemikian rupa. Beliau berfikir apakah jawapan yang patut diberikan. Jika arahan itu diterima, pasti dosa setiap orang yang mendedahkan aurat akan ditanggungnya. Jika ditolak, pasti nyawanya terancam. Fikir sedalam-dalamnya.

Keputusan dibuat. Orang ‘alim itu meminta supaya diberikan masa sehari untuk memberikan kata akhir. Terima atau tolak. Polis-polis itu setuju. Beliau terasa sungguh lega namun masalahnya masih belum selesai. Beliau menuju ke mihrab (tempat beribadah) peribadi miliknya.

Di situ, beliau bermunajat kepada Allah s.w.t supaya diberikan petunjuk dan penyelesaian yang paling terbaik baginya. Tidak jemu beliau bersolat, berdoa dalam sujudnya. Air matanya mengalir deras. Mengharapkan sebuah jawapan dari Raja segala raja.

Keesokkan harinya, polis-polis mula tiba di rumah orang ‘alim itu. Pintu diketuk berulang-kali namun tidak disambut. Mereka merempuh masuk ke dalam. Dicarinya orang ‘alim itu di setiap ruangan.

“ Dia ada di sini !! “ jerit salah seorang polis. Mereka semua menuju ke sebuah ruangan di rumah itu. Kelihatan si ‘alim masih lagi dalam keadaan bersujud di mihrabnya. Polis-polis lega kerana orang ‘alim itu tidak melarikan diri. Senang kerja mereka.

“ Sudah-sudah la tu, apa jawapan kamu ?? “ tanya polis tadi. Si ‘alim masih lagi bersujud. Mereka yang menunggu,sudah naik bosan lalu menggerakkan tubuh lelaki ‘alim tersebut. Lelaki ‘alim itu terlantar. Mereka memeriksa nadinya. “ Tiada denyutan nadi.. dia dah mati.. “



gambar hiasan



-Tamat -

Subhanallah… itulah sebaik-baik penyelesaian, yang Allah kurniakan. Mati di dalam munajat. Allah rindu akan hamba yang setia mentaatiNya. Diselamatkan dari bencana dosa. Itulah cabaran seorang ulama’… antara nikmat syurga yang membahagiakan ataupun azab neraka yang menggerunkan. Bersediakah anda menyahut cabaran itu ??

Saturday, October 30, 2010

Aqidah : fitrah kita

Dunia dan segala yang ada di dalamnya, pasti ada yang memilikinya. Perhatikanlah, tiada yang tidak mempunyai tuan. Paling-paling tidak pun, ianya hak milik awam ataupun wakaf, itu pun ada juga pemiliknya. Dan di sini, kita setuju bahawa segalanya, dimiliki.

Jadi, kita ini milik siapa ??

Ini suatu persoalan. Kalau kita kata, ibubapa yang memiliki kita, maka siapa yang memiliki ibubapa kita ?? Atuk nenek ?? Kalau begitu, maka kita akan teruskan rantaian ini sehingga ke manusia pertama dicipta, Adam a.s.

Jadi, kita bukan milik ibubapa. Sebab ibubapa kita juga dilahirkan seperti kita. Pemilik yang mutlak, tidak dimiliki sesiapa. so, Kita ini milik siapa yang memiliki Adam a.s.

Siapa yang memiliki Adam a.s ??

Tentulah Tuhan... Tapi tuhan yang mana ?? sebab sekarang ni ada pelbagai jenis agama. Ada yang kata tuhan tu tiga, ada yang kata satu, ada yang kata beribu-ribu, ada yang kata tiada tuhan.. Mana satu yang benar ??

Too many chefs spoil the cook..

Ini pepatah English, yang mengatakan, terlalu ramai tukang masak akan merosakkan masakan itu. Benar. Itu baru dalam bab memasak. Apatah lagi kalau bab yang lebih besar daripada itu. Sebagai contoh, memerintah dan memiliki sesuatu.

Kalau dalam pemerintahan, tidak pernah dalam sejarah ada dua orang Perdana Menteri sebuah negara dalam satu masa. Nak tak nak, mesti ada yang paling tinggi dan berkuasa. Semua orang setuju dan sokong perkara ini. Ini fitrah manusia.

Kesimpulannya, mesti satu. Di sini, kita dapat jawapan bahawa hanya satu tuhan. Tiada dua, tiga dan selebihnya. Dan yang satu ini, mestilah yang paling hebat, paling berkuasa, paling bijak dan paling segala-galanya.

ISLAM... agama yang menyembah satu tuhan, iaitu Allah. Ini selari dengan fitrah kita tadi. Tapi ada satu alasan yang digunakan oleh non-muslim sedaya upaya menafikan fitrah ini. " Allah ?? tak nampak pun ?? "



Bagi menepis alasan ini, Kita jawab bahawa, tidak semua benda yang wujud boleh dilihat. Ada banyak hujah boleh kita gunakan. Lagi-lagi di zaman yang serba canggih ini. Kalau dalam lirik lagu Maher Zain, open ur eyes, adakah kita nampak perasaan marah dan cinta yang ada dalam diri kita ?? adakah ia benar-benar wujud ??

Virus komputer, Bluetooth, angin dan banyak lagi. Semua itu tidak boleh dilihat, tapi semua manusia percaya ia wujud. Bagaimana pula dengan Allah ?? kenapa tak percaya Allah wujud ??

Bukan tak percaya tapi hati yang mati lagi mengingkari telah menutup pintu hidayah sedangkan fitrah yang benar tadi terkurung di dalam. Ianya akan keluar tatkala manusia dalam keadaan terdesak.

Jika ada seorang berpaut pada sekeping papan di tengah-tengah laut.Dia begitu takut. Tiada siapa yang tahu di mana dia. Ketika itu, fitrahnya dibebaskan. Hatinya mula berkata, " Wahai Tuhan selamatkan aku ".Inilah contoh yang Allah gunakan dalam al-Quran.



Tuhan mana yang dia minta tolong ?? adakah ketika itu, dia terfikir untuk sebutkan nama-nama nenek moyang yang dia sembah ?? ataupun trinity ?? pasti, dia hanya minta pada yang satu. Kerana fitrahnya berbicara. Namun bila dia terselamat dari bahaya, fitrahnya dikurung semula. Pintu hatinya dikunci.

Tugas kita, selaku muslim... bebaskan fitrah suci itu dari hati-hati non-muslim yang rapat dengan kita. Ketuk pintu hati mereka, ajak mereka untuk berfikir. Pabila mereka mula berfikir, pintu itu akan terbuka. Insya Allah. Dan kita perbanyakkan doa untuk mereka.

Bagi kita pula, murnikan fitrah itu. Bajai ia dengan iman yang benar lagi mendalam. Ia akan memandu kita kepada muraqabah (rasa diperhatikan) Allah lantas menghalang kita dari melakukan maksiat. Wallahu 'alam.

Sunday, October 17, 2010

Tazkirah Jumaat

Bismillah.
Sedikit perkongsian dari sebahagian isi khutbah Jumaat yang lepas.

[[ Kita selaku hamba Allah pasti tidak terlepas daripada menghadapi ujian dan mehnah di dalam hidup. Apakah faedah ujian itu ??

Faedahnya, supaya dapat membezakan antara kita, sama ada kita benar-benar beriman ataupun kita hanya seorang penipu. (rujuk firman Allah, surah Al-Ankabut : 3)

Allah menguji kita, sehingga terbukti orang yang bersungguh-sungguh dan bersabar dengan semua dugaan itu. (rujuk firman Allah, surah Muhammad : 31)

Dan setiap ujian yang diberikan, rendah dan tinggi levelnya bergantung kepada agamanya. Jika kuat agamanya, maka beratlah ujian ke atasnya, begitu juga sebaliknya. Dan para Nabi adalah mereka yang paling hebat dan berat ujiannya.

Dan mereka yang bersabar, akan mendapat ganjaran yang sangat besar. Mereka ialah orang yang mengucapkan “Inna Lillah wa Inna Ilaihi Raaji’uun” di lidah dan perbuatan mereka. Mereka akan mendapat keampunan dan rahmat dari Allah, juga diberi hidayah. (rujuk firman Allah, surah Al-Baqarah : 157)

Kita tidak akan dapat masuk syurga hanya bergantung pada amalan kita, hatta Rasulullah s.a.w sendiri pun. Akan tetapi, dengan Rahmat Allah, kita bisa menjadi ahli syurga. Dan orang-orang yang sabar telah dijanjikan rahmat itu.

Berdasarkan hadis Baginda s.a.w,
ketika semua makhluq Allah berhimpun di Mahsyar nanti,

Allah berkata, “ Manakah ahli Sabar ?? “,

Maka bangunlah segolongan manusia, mereka dengan mudah dan pantas masuk ke dalam syurga. Maka para Malaikat menemui mereka itu dan berkata,

“ Kami lihat kamu semua masuk ke dalam syurga dengan pantas, siapakah kamu ini ?? “,

Maka mereka menjawab,

“ Kami adalah ahli (org2) Sabar ”
Malaikat bertanya,

“ Apa yang kamu sabarkan ?? ”
Mereka menjawab,

“ Kami telah sabar dalam mentaati Allah,
dan kami telah sabar dari melakukan maksiat terhadap Allah ”

Maka dikatakan kepada mereka,

“ Masuklah ke dalam syurga, sebaik-baik ganjaran mereka yang beramal “

Dan Allah berfirman :
قال الله تعالى: إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ

“ Hanya orang yang bersabarlah, disempurnakan pahalanya tanpa batas ”
Surah Az-Zumar : 10


Bayangkan…

Seorang mahasiswa sanggup berjaga malam, berhempas-pulas mengulangkaji pelajaran, bertanya kepada pensyarah jika tidak jelas tentangnya, ditambah dengan praktikal. Demi cemerlang di dalam peperiksaan yang bakal dihadapinya. Di kepalanya, bersinar sebuah impian dan cita-cita.

Impiannya : Mendapatkan pekerjaan yang kukuh dan gaji yang lumayan, Dan memiliki rumah dan kereta idaman. Setelah itu, berumah tangga dan bersenang-lenang dengan isteri-isteri yang jelita. Menikmati segala jenis makanan yang lazat-lazat dan berehat sepuas-puasnya tanpa sebarang kerisauan.

Tidakkah kita sedar bahawa setiap impian mahasiswa ini juga menjadi impian semua muslim, yang hanya terdapat di syurga, negeri yang kekal abadi. Kenikmatan tiada bandingannya dengan apa yang ada di dunia ini. Memiliki singgahsana, didampingi bidadari syurga setiap masa, menikmati segala juadah di syurga dan berehat sepuas-puasnya setelah berpenat-lelah beramal di dunia.

Jika kita sedar semua ini, pasti kita sanggup lakukan semua perkara. Bertanya kepada ulama’ jika tidak jelas tentang urusan agama, berusaha untuk amalkannya. Demi menjadi orang yang cemerlang dan tinggi di sisi Allah. ]]

Monday, October 11, 2010

Ikhlas vs Dendam

Terdapat 2 orang beradik di dalam sebuah keluarga yang kaya. Ahmad,putera sulung dan Ali, putera bongsu. Umur mereka berdua sekitar 30-an.

Mereka hidup bahagia sehingga tiba suatu hari, Ayah kesayangan mereka meninggal dunia. Sebuah dokumen harta pusaka diteliti mereka berdua. Ayah mewariskan sebuah kilang kecil dan harta yang banyak.

Mereka berdua membuat pembahagian. Ahmad, memilih untuk mewarisi kilang kecil manakala adiknya, Ali, memilih harta yang banyak.

Tahun berganti tahun, Ahmad bertungkus-lumus mengembangkan perniagaannya yang bergantung sepenuhnya pada kilang kecil yang diwarisinya. Hasil dari kesungguhannya, perniagaannya bertambah maju dan kilangnya sudah berkembang. Ahmad merupakan antara ahli perniagaan yang terkaya di kawasannya.

Manakala keadaan Ali tidak begitu baik, segala harta yang diwarisinya, dihabiskan dengan bersuka-ria, melancong sana dan sini. Semakin lama harta itu berkurang dan berkurang.


Ali mula terdesak. Tidak tahu hendak bergantung pada siapa. Ali teringat akan abangnya, Ahmad.

Maka terjadilah sebuah dialog antara 2 beradik itu di pejabat Ahmad.

Ali : Abang, maju ye syarikat abang sekarang.

Ahmad : Alhamdulillah, usaha tangga kejayaan. Ha Ali, apa hajatnya ke mari ?

Ali : Begini abang, boleh tak abang beri sedikit daripada kekayaan abang tu kat Ali. Ali perlu duit sekarang.

Ahmad : Oh, bukan Ali dapat harta yang banyak ke dari warisan ayah ??

Ali : Ye tapi… hmm… dah abis.

Ahmad : Dah abis ?? Ali buat apa dengan harta tu ??

Ali : Ali belanja la..

Ahmad : Dah, Ali tanggung sendiri hidup Ali. Abang tak nak tolong dalam hal ni. Abang punya susah-payah majukan semua ni, Ingat senang2 nak bagi kat Ali ??

Ali : Boleh la abang..

Ahmad : Takde boleh2.. keputusan muktamad. Pandai2 la hidup.

Ali : Oh.. camni ye abang kat Ali. Tengok la nanti. Selamat tinggal.

Ali beredar dari pejabat abangnya dan menenangkan fikirannya di sebuah taman. Banyak perkara yang terlintas di benak fikirannya.

“ Apa aku nak buat lepas ni ?? “ , “ Bagaimana aku nak ajar abang aku tu ?? “.

Tiba-tiba, muncul seorang lelaki tua dan menyapa Ali. Lelaki tua memberitahu bahawa dia memiliki sebuah kilang kecil dan memerlukan tenaga muda seperti Ali, untuk membangunkan perniagaannya. Bagi Ali, ia merupakan peluang keemasan untuk membalas dendam terhadap perbuatan abangnya tadi. Ali setuju.

Berpenat-lelah Ali menguruskan perniagaan dengan kilang kecil itu. Niatnya untuk membalas dendam terhadap abangnya, dijadikan pembakar semangat. Perbuatan abangnya itu perlu diajar.

2 tahun kemudian, perniagaan Ali berhasil. Ali juga menjadi antara ahli perniagaan yang terkaya di kawasannya. Sehingga tiba suatu hari, mesyuarat antara ahli perniagaan diadakan bagi melantik pengerusi Persatuan Usahawan. Ahmad, Ali dan lelaki tua itu turut hadir.

Ada yang mencalonkan Ahmad sebagai pengerusi dan ada yang mencalonkan Ali, berdasarkan kesungguhan mereka berdua. Bagi merebut kerusi itu, tercetus sebuah dialog.

Ali : Hadirin sekalian, adakah kalian mahu melantik seorang yang tidak berhati perut, sanggup membiarkan adik sendiri dalam kesusahan, tanpa sebarang bantuan pun diberikan. Adakah orang begini yang hendak dijadikan pemimpin ??

Ahli-ahli perniagaan yang lain terkejut mendengar tuduhan Ali terhadap Ahmad. Mereka inginkan kepastian pada tuduhan itu.

Ahmad : Hadirin sekalian, Semua itu benar.

Ali tersenyum. Ternyata bibit-bibit dendamnya mula terbalas. Tidak sabar untuk menunggu apa yang akan berlaku.

Ahmad : Tapi Ali.. berilah peluang untuk lelaki tua itu berkata.

Ali kehairanan. Lelaki tua itu bangun dan menjelaskan. Masing-masing memberi tumpuan.

2 tahun yang lalu…
Ali meninggalkan pejabat abangnya dalam keadaan marah. Ahmad hanya menghela nafas berfikir. Seorang lelaki tua diminta menghadapnya. Ahmad mengarahkan lelaki tua itu, menawarkan kepada Ali sebuah kilang kecil miliknya untuk dimajukan. Dengan syarat, merahsiakan perkara ini dari pengetahuan Ali.

Semua orang terpana dengan penerangan lelaki tua itu. Ahmad menghela nafas. Masa untuk membongkarkan rahsia telah tiba. Ali pula terkedu. Lututnya seakan-akan tidak mampu berdiri. Air matanya mula menitis. Perasaan dendamnya selama ini, dengan mudah dilenyapkan oleh keikhlasan abangnya. Rasa terlalu malu, berdosa.

Ali mendakap abangnya, Ahmad, memohon maaf atas segala buruk sangka, kelalaiannya selama ini. Mulai hari itu, Ahmad, dianggap Ali, seorang abang yang paling mulia di muka bumi ini.

gambar hiasan

Mesej dari kisah ini,

Kehebatan hati yang ikhlas, mampu memadamkan api dendam yang membuak-buak, dengan mudah sekali. Biarpun ianya tidak diketahui penduduk Bumi, Namun ianya terkenal di sisi Allah… Banyak lagi mesej lain dari kisah ni tapi anda semua cari sendiri.. insya Allah..

kisah ini dipetik dari khatirah (tazkirah ringkas) antara 4 rakaat tarawih di salah sebuah masjid di Yaman.. sewaktu program iktikaf.. wallahu 'alam..