Saturday, June 23, 2012

Ada apa dengan Forum " Travelog cintaku " ?

Gambar hiasan
Apakah yang dimaksudkan dengan cinta ?

Pabila soalan pertama ini diajukan kepada Ust. Ahmad Nasir bin Awang (hafidzohullah), Ustaz berkata :

" Cinta itu adalah sesuatu yang maknawi. Ia tidak dapat dilihat, didengari ataupun disentuh. Akan tetapi ianya dapat dirasa.

 Kalau tidak kerana cinta,
    seorang ibu tidak akan menyusukan anaknya.
    seorang guru tidak akan mendidik anak muridnya.
    seorang suami tidak akan memberi nafkah kepada isteri dan anaknya.

betapa pentingnya Cinta..

Cinta adalah fitrah yang suci dan murni..  akan tetapi, jika ianya disalahguna, ia kan berubah menjadi racun yang membunuh iman, jiwa dan sikap kita. "

Kemudian Ustaz membacakan hadis yang menceritakan tentang 3 resepi dalam memperolehi Kemanisan Iman.
1. Mencinta Allah dan rasulNya lebih daripada yang lain.
2. Mencinta seseorang itu hanya kerana Allah.
3. Benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana bencinya kita untuk dimasukkan ke dalam neraka. "

Kemudian Ustaz ada menerangkan jika seseorang suami itu memegang dan mengusap tangan isterinya, dia akan mendapat pahala.

Bila dengar point ini, ana terfikir....

    Bagi mereka yang belum berkahwin, tiada tangan isteri yang mampu diusap. Sedangkan inilah perkara yang membuatkan anak dara dan teruna tersenyum sorang-sorang bila membayangkan. Boleh dikatakan, inilah fantasi mereka.

    Akan tetapi, kita mungkin terlupa bahawa di sana ada BANYAK lagi tangan-tangan yang halal untuk kita sentuh dan usap, iaitu tangan Ibu Ayah kita.. tangan Atuk Nenek.. tangan Pakcik Makcik dan tangan adik-beradik kita..

    Tangan-tangan itu jarang sekali kita usap dan belai. Padahal di situ, ada pahala yang lebih besar dijanjikan Allah. Bila tangan-tangan itu perlu dipimpin, kita endahkan. Kita lebih mengharapkan tangan yang belum pasti, berbanding berpuluh-puluh tangan yang sedia ada.

    Ada satu lagi tangan yang jarang diusap dan dipegang terutama di Malaysia. Itulah tangan para ulama' dan guru. Kita hanya mencium tangan mereka di akhir kuliah. Itu pun jarang-jarang berlaku.

    Sedangkan di negara Arab, seorang 'alim akan mengenggam mesra tangan anak muridnya tatkala mendengar persoalan, permasalahan mahupun hanya sekadar bertanyakan khabar. Dan seorang sahabat akan memimpin tangan sahabatnya dalam mengajaknya melakukan kebaikan.

    Akhir kata, Mudah-mudahan kita tidak terhanyut dengan fantasi yang belum menjadi realiti. Masih banyak lagi amanah yang belum tertunai. Utamakan yang utama. Wallahu 'alam.