Friday, August 2, 2013

Sirah Rasulullah s.a.w berulang ?

Bismillah. Dengan nama Allah, aku menulis.
Alhamdulillah. Pada cuti semester yang lepas (Jun 2013), berpeluang menyertai kembara dakwah di kawasan pedalaman Sabah. Itu merupakan pertama kali ana jejakkan kaki ke Bumi di bawah bayu.
Apa yang menarik bagi ana, situasi yang berlaku di sana ada banyak persamaan dengan Sirah Nabi s.a.w. Insya Allah, ana kongsikan di sini.

Pertama,
Saudara baru kita di sana, walaupun ilmu dan pengetahuan mereka tentang Islam sangat sedikit, mereka tetap sampaikan Islam itu kepada orang lain. Bermula dengan ahli keluarga, jiran tetangga dan kawan-kawan. Mereka menceritakan kebenaran Islam dan keindahannya dengan penuh semangat. Malah mereka buktikan dengan kesungguhan mereka mempelajari, melaksanakan ibadah dan membangunkan kehidupan mereka. Kampung mereka bertambah bersih, mengecat rumah-rumah dan lain-lain lagi.


Pemandangan Kampung Padang : rumah dicat 

Begitulah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. di mana para Sahabat r.a. yang baru memeluk Islam, tanpa bertangguh-tangguh, menyebarkan Islam kepada orang lain. Walaupun hanya mengetahui satu ayat, Para Sahabat r.a. sampaikan kepada masyarakat Arab.

Maka, ana rasa sangat segan dan malu kerana kita ini yang sudah lama memeluk Islam, mempelajari Islam sejak sekolah rendah dan menghafal beberapa surah Al-Quran dan beberapa potong Hadis Rasulullah s.a.w,  Berapa sangat Islam yang kita dah ceritakan kepada orang lain. Sedangkan Islam itu rahmat bagi seluruh alam tapi seolah-olah kita hadkan rahmat itu hanya untuk diri kita sahaja. Astaghfirullah.

Kedua,
                Sepanjang kami di sana, perjalanan kami ke beberapa tempat dibantu oleh mereka yang belum Islam terutamanya sebagai pemandu kereta pacuan empat roda. Dalam kereta, kami yang Islam ni banyak tidur terutama ana (huhu.. sebab pening2). Tapi abang-abang tu (yang belum Islam) memandu kereta berjam-jam lamanya dan berjaga demi kelancaran program kami. Mereka lebih banyak berkorban dan lebih letih berbanding kami. Subhanallah.

Abg Julius (t-shirt merah), pemandu kami yang ketika itu belum Islam.
Alhamdulillah yang latest, beliau dan isteri telah memeluk Islam. 
                Begitu jugalah yang berlaku pada peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w di mana seorang pemandu arah diupah Baginda s.a.w. demi kelancaran Hijrah ke Madinah tersebut. Allahu Akbar.

                Maka, kita selaku orang Islam. Sepatutnya kita yang lebih banyak membantu usaha-usaha menyebarkan Islam kerana itu agama kita sendiri. Itu tanggungjawab dan amanah kita sebagai khalifah. Tapi malangnya, realiti hari ini membuktikan bahawa orang Islam sendiri juga yang menyusah-nyusahkan Islam dari dilaksanakan malah ada yang menghalangnya. Innalillah.

Ketiga,
                Di sana, Ana dapat berkenalan dengan seorang pakcik yang baru memeluk Islam. Diceritakan bahawa pakcik itu sebelum ini antara orang yang paling kuat menentang Islam. Kalau nampak orang Islam je, dia rasa nak pukul. Tapi kini, kalau ada orang menghina Islam, pakcik itu sanggup pukul orang tersebut. Subhanallah.

                Demikian juga Para Sahabat r.a. sebagai contoh Umar al-Khattab r.a., beliau antara orang yang paling memusuhi Islam dan bersungguh-sungguh ingin membunuh Rasulullah s.a.w. Akan tetapi, selepas cahaya Islam menyinari hatinya, Umar r.a. adalah orang yang paling berani mencabar mereka yang ingin menghalang Islam. Allahu Akbar.


Mungkin ada banyak lagi persamaan yang ana tak sedar tapi apa yang penting ialah kita mengambil pengajaran dari semangat dan usaha kuat saudara-saudara baru SeIslam kita dalam mempelajari, melaksanakan dan menyebarkan Islam. Ana yakin, alasan-alasan kita untuk mengelakkan diri dari berdakwah selama ini tak boleh diterima. Mereka di sana telah membuktikannya. Maka, apa lagi..dengan kemampuan kita,  Jom sebar Islam !!!