Tuesday, January 31, 2012

Kembali bergelar pelajar.

  

 
     DARUL AMAN... Tempat baru bagiku.. Berkelana demi meneruskan jihad mata pena. KOLEJ UNIVERSITI INSANIAH (KUIN) berpusat di Alor Setar, sedang aku jadikan 'lubuk' untuk mengutip seberapa banyak ilmu yang mampu.

    Allah musta'an.. Pernah sebelum ini, ana menulis tentang berbaik sangka kepada Allah. Yakin dengan segala Qada' dan QadarNya. Walaupun pada pandangan kita ianya merugikan, Yakinlah, ada hikmah yang tersirat.

    Kini, Allah menguji ana. Apa yang ana tulis dikembalikan kepada ana. Sejauhmana pula ana mengamalkan tulisan ana tadi. Allahu Akbar.. Berat sungguh. Ana terpaksa mengulang kembali pengajian ana di tahap Asasi (setaraf STAM @ STPM). Walaupun telah meninggalkan bangku sekolah menengah pada tahun 2007. Sudah 5 tahun berlalu, namun kelulusan tertinggi ana hanyalah SPM dan sijil itu hanya valid untuk tempoh 5 tahun sahaja.

    Allah.. Allah.. Perasaan ana gundah-gulana. Resah dan risau. Melihat sahabat-sahabat yang lain telah graduate @ hampir kepadanya. Di mana pula aku ? Allah.. Allah.. Melihat adik-adik di bawah sedang meningkat tahap pelajaran mereka. Aku pula masih di tampuk lama. Sampai bila Ummi Abah nak menanggung perbelanjaanku ? Allah.. Allah..

    Melihat beberapa orang Ikhwah yang telah kembali ke Yaman untuk meneruskan pengajian mereka, tambah rasa cemburu (Ghibthoh). Keadaan di sana masih belum stabil, namun mereka tekad menempuhnya. Moga Allah menjaga keselamatan Antum. Sebelum ini kami bersama, kini semuanya terpecah. Masing-masing menyusuri laluan Takdir yang Allah aturkan. Insya Allah, kita akan bertemu lagi.

    Allah.. Allah..  Paling menusuk hati ini, ketika seorang Pensyarah di sini menjawab permintaan dan rayuan ana untuk membuat pemindahan kredit (dari Yaman). Beliau menolaknya dan berkata :

                    " Kamu sendiri yang pilih jalan itu, kamu kena lah terima risiko-risikonya. "        

    Bagai kilat menyambar jantungku. Benar katanya. Cuma terlalu pedih untuk menerimanya. Aku menangis semahu-mahunya. Mohon ampun pada Yang Maha Mengatur, agar dijauhkan dari perasaan menyalahkan takdirNya, tidak redha dan putus asa. Aku banyak membisu. Berfikir.. Muhasabah.. Istighfar..

    Alhamdulillah.. Perasaan itu dapat dijauhi. Ana memandang diri sendiri dan membandingkannya dengan Allah. Jurang yang teramat jauh antara hamba dan Pencipta. Tidak pantas untuk kita berasa tidak puas hati denganNya. Keimanan terhadap Allah dan Hari Akhirat dijernihkan.

    Ana berfikir dan membuat satu prinsip baru. Dipandang hina di dunia bukanlah masalah besar. Yang penting, apa kedudukan ana di Akhirat nanti. Berjayakah ana memperoleh Ijazah Penghuni Muda Syurga Firdaus dengan kepujian ? Terselamatkah ana dari terpaksa mengikuti kelas pemulihan di Neraka Allah ? Allahu Akbar..

    Insya Allah, sekalung Ijazah di dunia ini, akan ku cuba dapatkan sedaya yang mungkin. Tapi yang lebih utama adalah tadi. Ijazah suratan amal di tangan kanan (Ashabul Yamin) dan Kad Matrik ahli Syurga. Itulah yang paling wajar ana bermati-matian menggarapnya. Wallahu 'alam.

    Mohon diberikan kekuatan untuk mentaati Allah dalam apa jua keadaan. Diberi perlindungan dari syaitan yang sentiasa menyesatkan. Akhir kata, Tiada had umur dalam menuntut ilmu. Ilmu menjadikan kita lebih takut kepada Allah. Moga dikurniakan Hikmah sebenar ILMU itu. Amin.  
       
  

Thursday, November 24, 2011

Berbaloi jika...

" Berapa yang saya perlu bayar ? "

" Ok, untuk bulan ni RM480 "

Dengan harapan yang menggunung tinggi, wang sejumlah itu dihulurkan.


Sebulan RM480 ? apa benda yang mahal sangat ni ?

Inilah jumlah yuran (kalau tak silap) yang perlu dibayar oleh ibubapa setiap bulan bagi seorang anak yang belajar di Sekolah Menengah Islam Hira' Jeram. (kalau untuk sekolah rendah, boleh rujuk kaunter kewangan).

Banyak ke sikit jumlah ni ? Wallahu 'alam. Bagi ana, jumlah itu sangat besar. Nak keluarkan sejumlah itu secara bulanan selama beberapa tahun... fuh ! sangat mencabar. Terutama bagi yang berpendapatan rendah. Itu baru seorang, kalau 2 orang, 3, 4, 5... Boleh botak kepala !! (utk org yg ada rambut shj).

RM480 (yuran sebulan) x 12 (bulan) x 5 (tahun) : RM28,800. = Insan Rabbani.

Inilah harapan yang menggunung tinggi itu. INSAN RABBANI !! Bukan sekadar menyejukkan mata ibubapa, malah memimpin ummah di persada dunia. Bagi ibubapa, RM28,800 (untuk seorang) itu agak kecil berbanding harga dan nilai peribadi Muslim itu.

Pemandangan sebegini, ana telah saksikan saban hari. Suasana ibubapa pelajar Hira' menjelaskan yuran pengajian anak-anak mereka. Walaupun raut wajah mereka tenang dan tersenyum, namun ana rasakan mereka pasti terasa berat untuk mengeluarkan wang tersebut.

Rasa-rasa la, kalau dikira jumlah total duit yuran itu, dan digunakan untuk kesenangan hidup, Macam mana agaknya kehidupan ibubapa kita ? Mungkin setiap tahun boleh pergi melancong luar negara. Boleh beli rumah besar. Wallahu 'alam.


Apa-apa pun, itu pilihan mereka dan itu juga tanggungjawab mereka. Benarlah kata orang, harta itu banyak dihabiskan untuk membina generasi seterusnya. Harta ayah >> anak. Tanggungjawab dan pengorbanan mereka itu, kita doakan agar Allah s.w.t terima sepenuhnya.

Persoalannya, adakah anak harapan mereka itu sedang berusaha menjadi Insan Rabbani ? ataupun dengan kealpaan jiwa remaja, dalam tak sedar, sedang membakar hangus setiap helaian wang yang dikeluarkan ibubapa mereka ?

Ada juga ibubapa yang terpaksa berhutang kerana tak mampu untuk membayar kos pengajian pada waktunya. Adakalanya tertangguh selama beberapa bulan dan mereka telah berusaha sedaya upaya melunaskannya. Asalkan anaknya dapat belajar. Namun perkara itu, dirahsiakan dari kita (anak-anaknya).

Amat malang bagi mereka yang tidak bersungguh-sungguh untuk belajar dan mendidik diri, sebagaimana ibubapa mereka bersungguh-sungguh membayar yuran pengajian anak mereka. Mereka buat kerja mereka, kita buat kerja kita.

Sedarlah sahabat-sahabatku. Hargailah titik peluh ibu ayahmu. Jangan kau hampakan mereka. Ada peluang, kita sendiri yang menghulurkan wang yuran itu (wang ibubapa) di pejabat kewangan. Rasakanlah betapa 'berat'nya wang itu, betapa tingginya harapan mereka dan betapa hinanya keadaan kita yang sebenar di sekolah.

Ayuh, ubahlah dirimu. Jadilah orang yang mengenang budi.. Jadilah INSAN RABBANI !!

Tuesday, November 22, 2011

Next challenge

Sangat mencabar rasanya untuk membentuk peribadi orang lain dan dalam masa yang sama, diri sendiri lebih utama lagi. Semakin kita mendalam kenal seseorang itu, semakin banyak kelemahannya yang ditemui. Maka, kerja kita bertambah banyak dalam membentuk peribadi muslim.

Tak hairanla, kenapa ia (Dakwah) dikategorikan sebagai amalan yang terbaik berbanding amalan yang lain. Dan ia juga merupakan tugas utama para Rasul Allah. Membacakan, menyucikan dan mengajarkan. Ganjaran yang dijanjikan sangat lumayan. Memang jualbeli yang untung GILER !!

Cuma penyakit Riya' (suka orang tengok amalan kita) senang sangat datang. Tak pernah walau sekali pun kita jemput. Suka hati dia je nak datang. Ada kalanya bertenggek sekejap, ada kalanya lepak-lepak dan paling dahsyat, terus buat macam rumah sendiri. Habis huru-hara rumah (hati) kita. Bila dah bersepah, kena ada semangat dan mujahadah untuk kemas balik rumah tu seperti sediakala.



Paling pantang, bila ada orang puji ataupun bila kita perlu untuk melaporkan dan berkongsi dengan ikhwah kita, apa yang kita dah buat. Time tu, 'Ujub (rasa hebat diri) pula yang datang. Aduih.. ramai betul pendatang asing. Terpaksa minta tolong Istighfar untuk halau Si 'Ujub tu.

Tak nak la, bila di hadapan Allah nanti, Semua kerja dan titik peluh kita, Semua masa, tenaga dan harta yang kita korbankan, Allah enggan terima disebabkan kunjungan Si Riya' dan 'Ujub tadi. Padahal kerja tadi sebaik-baik amalan, tapi jadi habuk sebab penyakit-penyakit hati.


Berdasarkan perenggan pertama tadi, diharapkan ramai insan boleh mengenali ana secara mendalam. Dengan niat untuk membantu, tolonglah cari, cungkil dan keluarkan mana-mana 'nanah' yang tertanam dalam diri ana. Satu perkara yang baru ana sedar. Bila kita nampak soleh (ana rasa la, tak tahu orang lain mcmmana), Tiada orang nak beri teguran dan nasihat. Yang ada hanya pujian.. Kalau boleh, biar la seimbang.



Kadang-kadang rasa rindukan perhatian dan teguran sahabat-sahabat dan murabbi-murabbi waktu diri masih lalai dan jahiliyyah dulu. Wallahu 'alam, mungkin ini next level punya cabaran. Allah knows the Best. I'm just His slave. Anyway, I have to struggle until I meet Him. O Allah, please accept my worship. Amin.

Tuesday, September 20, 2011

Ada tak niat itu ??

Bismillah.. setelah kian lamanya tidak menulis, setengah tahun jugak rasanya.. Alhamdulillah berkesempatan juga ana.

Ana kongsikan pemerhatian ana terhadap satu peristiwa yang telah menggerakkan ana untuk menulis. Peristiwa itu berlaku pada hari Sabtu, 17 September lepas.

Setelah kepenatan mencari buku di Kompleks PKNS Shah Alam, ana terdetik untuk berehat sambil beribadah di Masjid Negeri. Ketika nak parkir kereta, terkejut dengan bilangan kereta yang ada di perkarangan masjid, hatta melimpah-limpah ke luar kawasannya. Ada apa ni ??

Dengan ketentuan Allah, dapat juga parkir kereta di dalam kawasan masjid. Kelihatan ramai jema'ah berselubung kain ihram dan melakukan tawaf mengelilingi replika Ka'abah. Ana pun segera ke situ.

Subhanallah... hampir 4 ribu orang menyertai Kursus Perdana Haji di bawah seliaan Tabung Haji. Tak kira lelaki perempuan, tua muda, kaya miskin, semua lapisan masyarakat turut serta.


Ana memerhati setiap wajah yang bertawaf. Subhanallah.. tak semena-mena, ana terharu dan menitiskan air mata. Melihatkan wajah-wajah warga emas yang termengah-mengah, keletihan melaksanakan LATIHAN Tawaf dan Sa'ie. Ada yang berehat sebentar, ada yang tercari-cari suami kerana terpisah, ada yang dipapah orang, ada yang ditolak dengan kerusi roda dan berbagai keadaan lagi.

Ana agak risau akan keadaan mereka dalam Ibadah Haji yang sebenar nanti. Mungkin tiada masa dan ruang untuk berehat. Tiada peluang untuk mencari orang yang terpisah. Dihimpit-himpit. Itu belum lagi jika ada orang yang pentingkan diri dan bertindak kasar ketika Tawaf dan Sa'ie. Moga Allah melindungi jema'ah Haji.


Ana cukup kagum dengan kesungguhan mereka. Biarpun dimamah usia, namun RUKUN ISLAM ke-5 itu wajib ditunaikan setelah cukup syaratnya. Mungkin ada yang akan berkata :

" Kenapa tak buat haji waktu muda ?? bila dah tua ni kan payah.. "

Ada juga kebenarannya di situ tapi bagaimana pula jika waktu muda-muda , ekonomi masih belum kukuh. Terutama golongan yang berpendapatan rendah seperti petani, nelayan dsb. Ditambah dengan faktor kos menunaikan haji meningkat setiap tahun. Akhirnya bila dah tua, baru ada rezeki dan kemampuan itu. Sebagai contoh, baru ada anak-anak yang sanggup tanggung perbelanjaan.


Bila difikirkan, kekuatan untuk mengingati suatu perkara makin berkurang tatkala umur meningkat senja. Untuk melaksanakan ibadah haji, banyak syarat dan lafaz doa yang perlu ditunaikan. Bagaimana nak menyelaraskan antara kelemahan warga tua dengan tuntutan ibadah haji tersebut ?



Ana perhatikan ada seorang nenek tua yang ditolak anak lelakinya menggunakan kerusi roda. Nenek itu hanya berpandukan tunjuk ajar dan arahan anaknya. Ana terdengar perbualan mereka :

"Mak.. kat sini kita angkat kedua tangan hadap kiblat dan takbir ye mak.. "
" sampai sini kita baca doa ini ye mak.. "
katanya lagi.

Nenek tua itu menuruti setiap tunjuk ajar anaknya. Kalaulah anaknya tiada di sisi, pasti nenek itu tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Bagaimana pula jika Haji yang sebenar (bukan latihan) nanti, dia terpisah dengan anaknya ?? Moga Allah menerima setiap kelemahan hambaNya dalam ibadah haji itu. Amin..

Allah telah menyedarkan ana. Selama aku hidup, pernah tak aku berniat untuk menunaikan RUKUN ISLAM ke-5 itu ??

Kalau pernah, masih kuatkah niat itu ?? Atau aku telah lupa dan lalai dengan godaan dunia ?? Pernahkah aku berusaha mencukupkan segala kemampuan menunaikan haji terutama aspek kewangan ?? Ataupun aku SENGAJA tidak mahu menabung agar kewajipan Haji gugur terhadapku ?? Astaghfirullah.. ampunkan daku ya Rabb..


Harapan ana agar seluruh tenaga muda yang mengalir dalam diri ini digunakan sebaiknya demi menjadi hambaNya yang taat. Terutama dalam usaha meletakkan Islam di tempat yang paling layak baginya, iaitu sebagai satu-satunya agama yang diredhai Allah. Islam itu paling tinggi !! Tiada yang lebih tinggi daripadanya !! Allahu Akbar !!

Monday, April 25, 2011

Bahagianya aku...

Di kala pemuda pemudi asyik bermain cinta...
Aku asyik mengejar cinta Allah dan RasulNya...
Bahagianya aku..

Di kala mereka terikat dengan janji-janji ingin sehidup semati...
Aku berusaha menunaikan janjiku untuk hidup-mati dalam dakwah
Bahagianya aku...


Di kala mereka menghabiskan duit demi merebut hati pasangan sendiri...
Aku membelanjakan hartaku, demi perniagaan yang tidak akan rugi...
Bahagianya aku...

Di kala mereka menangis ditinggalkan cinta kekasih...
Aku menangis, dambakan cinta yang Maha Pengasih...
Bahagianya aku...


Di kala mereka sedaya upaya memujuk kekasih kembali ke pangkuan...
Aku sedaya upaya memujuk manusia kembali ke pangkal jalan...
Bahagianya aku...

Di kala cinta mereka semakin hari semakin pudar...
Cintaku pada Allah dan RasulNya semakin hari bertambah mekar...
Bahagianya aku...



Selagimana Allah dijadikan tumpuan...
Selagimana RasulNya menjadi ikutan...
Selagimana Quran dan Sunnah menjadi pegangan...
Selagimana Dakwah jadi number one...

Selagi itulah aku rasa bahagia...
Bahagia yang sebenar-benarnya...
Kebahagiaanku ini pasti berterusan...
Terus sehingga merentasi alam(barzah) demi alam(akhirat)...

Ya Allah kekalkanlah kebahagiaan aku...
Dan limpahkannya kepada pembaca blog ini...

Thursday, April 21, 2011

Cabaran bekerja ??

Bismillah.. setelah lama tidak menulis. Asif jiddan jiddan.. Ye la baru sahaja jejakkan kaki di tanah air, sudah diberikan tanggungjawab-tanggungjawab yang berat. Walaupun masih dalam keadaan membiasakan diri dengan budaya @ suasana Malaysia yang telah lama ditinggalkan.

Perlu mengambil beberapa hari untuk mengimbas kembali perkara-perkara itu. Kalau bahasa komputernya, system restore.. hehe.

23 Mac 2011, tiba di KLIA. Mula bertugas sebagai Muallim (guru lelaki) di SRI Hira Batu Belah 5 hari kemudian. Bagi ana, ini peluang terbaik untuk ana mencari pengalaman bekerja walaupun masih tidak puas bercuti. Dalam tempoh ini, ana banyak berfikir dan memerhati.

Satu persoalan yang ana dapat timbulkan. Mungkin ianya tidak mampu dibayangkan golongan remaja @ pelajar. IPT mahupun sekolah. Mengalaminya sendiri sangat berbeza daripada mendengar dari orang lain.

Persoalan :

[Mampukah ana mengutamakan kerja dakwah @ tarbiyah yang tidak ber'upah' berbanding urusan kerja yang pasti diberi gaji ?? ]

[Mampukah ana terus thabat dalam amal dakwah ini lantaran tekanan bertubi-tubi di tempat kerja ?? Walaupun tidak sampai sebulan bekerja, ianya sangat terasa ]

[Dalam kesibukan bekerja, bila masa ana nak menuntut ilmu ?? Ilmu perlu ditambah.. bukan statik]

gambar hiasan

Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, Tetapkanlah hatiku di dalam ketaatan padaMu. Alhamdulillah kerana ana sedar akan hal ini sebelum ana berada di medan kerja yang sebenar. Ana masih seorang pelajar Universiti yang akan meneruskan perjuangan menuntut ilmu.

Bergelar seorang pelajar sangat seronok.. terlalu manis.. jauh sungguh bezanya dengan tanggungjawab seorang yang sudah bekerja. Apa-apa pun, bila tiba masanya, kita bekerja..

Dan di dalam kepenatan itu, hanya Ikhlas sahaja yang boleh menjadikan kita terus amanah dan istiqamah dalam beramal. Jika hanya kenikmatan dunia @ pujian manusia menjadi tumpuan kita, awal-awal lagi kita akan tersungkur. Dunia hanya sementara.. Nikmat datang dan pergi..

Tapi jika kita Ikhlas, kita akan yakin bahawa kerehatan dan kenikmatan yang sebenar-benarnya ada di sana.. Di syurga Allah s.w.t yang tidak ternilai harganya. Penat dan lelah itu yang kita perlu 'bayar' secara berterusan. Sehingga Allah 'mengambil' kita dari pentas ujian ini dan dinilai.

Tekanan di tempat kerja, tugasan membawa dua tiga halaqah, mengikut daurah dan katibah, akan terasa ringan dan pasti mampu dilaksanakan. Biarpun pada pandangan orang awam, " ini kerja gila lagi merugikan !! "... Tapi bagi kita " ini kerja biasa lagi menguntungkan ".

Kerana view kita sangat jauh ke hadapan.. merentasi alam dunia yang nyata ini. Yakin dengan apa yang Allah dan RasulNya janjikan di dalam Al-Quran dan Sunnah. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. Suburkan ia dalam hatiku Ya Allah.. amin

Saturday, March 19, 2011

Pengumuman...

Bismillah..

Insya Allah, jika tiada apa-apa yang menghalang.. Ana akan kembali ke Malaysia dalam masa terdekat ni.

Perancangannya mahu pulang bulan Ramadhan nanti, tapi kerana keadaan Yaman yang sudah diisytiharkan Darurat, kami terpaksa dihantar balik..

Apa-apa perkembangan tentang ana, akan diberitahu kemudian. Wallahu 'alam..