Saturday, June 23, 2012

Ada apa dengan Forum " Travelog cintaku " ?

Gambar hiasan
Apakah yang dimaksudkan dengan cinta ?

Pabila soalan pertama ini diajukan kepada Ust. Ahmad Nasir bin Awang (hafidzohullah), Ustaz berkata :

" Cinta itu adalah sesuatu yang maknawi. Ia tidak dapat dilihat, didengari ataupun disentuh. Akan tetapi ianya dapat dirasa.

 Kalau tidak kerana cinta,
    seorang ibu tidak akan menyusukan anaknya.
    seorang guru tidak akan mendidik anak muridnya.
    seorang suami tidak akan memberi nafkah kepada isteri dan anaknya.

betapa pentingnya Cinta..

Cinta adalah fitrah yang suci dan murni..  akan tetapi, jika ianya disalahguna, ia kan berubah menjadi racun yang membunuh iman, jiwa dan sikap kita. "

Kemudian Ustaz membacakan hadis yang menceritakan tentang 3 resepi dalam memperolehi Kemanisan Iman.
1. Mencinta Allah dan rasulNya lebih daripada yang lain.
2. Mencinta seseorang itu hanya kerana Allah.
3. Benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana bencinya kita untuk dimasukkan ke dalam neraka. "

Kemudian Ustaz ada menerangkan jika seseorang suami itu memegang dan mengusap tangan isterinya, dia akan mendapat pahala.

Bila dengar point ini, ana terfikir....

    Bagi mereka yang belum berkahwin, tiada tangan isteri yang mampu diusap. Sedangkan inilah perkara yang membuatkan anak dara dan teruna tersenyum sorang-sorang bila membayangkan. Boleh dikatakan, inilah fantasi mereka.

    Akan tetapi, kita mungkin terlupa bahawa di sana ada BANYAK lagi tangan-tangan yang halal untuk kita sentuh dan usap, iaitu tangan Ibu Ayah kita.. tangan Atuk Nenek.. tangan Pakcik Makcik dan tangan adik-beradik kita..

    Tangan-tangan itu jarang sekali kita usap dan belai. Padahal di situ, ada pahala yang lebih besar dijanjikan Allah. Bila tangan-tangan itu perlu dipimpin, kita endahkan. Kita lebih mengharapkan tangan yang belum pasti, berbanding berpuluh-puluh tangan yang sedia ada.

    Ada satu lagi tangan yang jarang diusap dan dipegang terutama di Malaysia. Itulah tangan para ulama' dan guru. Kita hanya mencium tangan mereka di akhir kuliah. Itu pun jarang-jarang berlaku.

    Sedangkan di negara Arab, seorang 'alim akan mengenggam mesra tangan anak muridnya tatkala mendengar persoalan, permasalahan mahupun hanya sekadar bertanyakan khabar. Dan seorang sahabat akan memimpin tangan sahabatnya dalam mengajaknya melakukan kebaikan.

    Akhir kata, Mudah-mudahan kita tidak terhanyut dengan fantasi yang belum menjadi realiti. Masih banyak lagi amanah yang belum tertunai. Utamakan yang utama. Wallahu 'alam.

Tuesday, January 31, 2012

Kembali bergelar pelajar.

  

 
     DARUL AMAN... Tempat baru bagiku.. Berkelana demi meneruskan jihad mata pena. KOLEJ UNIVERSITI INSANIAH (KUIN) berpusat di Alor Setar, sedang aku jadikan 'lubuk' untuk mengutip seberapa banyak ilmu yang mampu.

    Allah musta'an.. Pernah sebelum ini, ana menulis tentang berbaik sangka kepada Allah. Yakin dengan segala Qada' dan QadarNya. Walaupun pada pandangan kita ianya merugikan, Yakinlah, ada hikmah yang tersirat.

    Kini, Allah menguji ana. Apa yang ana tulis dikembalikan kepada ana. Sejauhmana pula ana mengamalkan tulisan ana tadi. Allahu Akbar.. Berat sungguh. Ana terpaksa mengulang kembali pengajian ana di tahap Asasi (setaraf STAM @ STPM). Walaupun telah meninggalkan bangku sekolah menengah pada tahun 2007. Sudah 5 tahun berlalu, namun kelulusan tertinggi ana hanyalah SPM dan sijil itu hanya valid untuk tempoh 5 tahun sahaja.

    Allah.. Allah.. Perasaan ana gundah-gulana. Resah dan risau. Melihat sahabat-sahabat yang lain telah graduate @ hampir kepadanya. Di mana pula aku ? Allah.. Allah.. Melihat adik-adik di bawah sedang meningkat tahap pelajaran mereka. Aku pula masih di tampuk lama. Sampai bila Ummi Abah nak menanggung perbelanjaanku ? Allah.. Allah..

    Melihat beberapa orang Ikhwah yang telah kembali ke Yaman untuk meneruskan pengajian mereka, tambah rasa cemburu (Ghibthoh). Keadaan di sana masih belum stabil, namun mereka tekad menempuhnya. Moga Allah menjaga keselamatan Antum. Sebelum ini kami bersama, kini semuanya terpecah. Masing-masing menyusuri laluan Takdir yang Allah aturkan. Insya Allah, kita akan bertemu lagi.

    Allah.. Allah..  Paling menusuk hati ini, ketika seorang Pensyarah di sini menjawab permintaan dan rayuan ana untuk membuat pemindahan kredit (dari Yaman). Beliau menolaknya dan berkata :

                    " Kamu sendiri yang pilih jalan itu, kamu kena lah terima risiko-risikonya. "        

    Bagai kilat menyambar jantungku. Benar katanya. Cuma terlalu pedih untuk menerimanya. Aku menangis semahu-mahunya. Mohon ampun pada Yang Maha Mengatur, agar dijauhkan dari perasaan menyalahkan takdirNya, tidak redha dan putus asa. Aku banyak membisu. Berfikir.. Muhasabah.. Istighfar..

    Alhamdulillah.. Perasaan itu dapat dijauhi. Ana memandang diri sendiri dan membandingkannya dengan Allah. Jurang yang teramat jauh antara hamba dan Pencipta. Tidak pantas untuk kita berasa tidak puas hati denganNya. Keimanan terhadap Allah dan Hari Akhirat dijernihkan.

    Ana berfikir dan membuat satu prinsip baru. Dipandang hina di dunia bukanlah masalah besar. Yang penting, apa kedudukan ana di Akhirat nanti. Berjayakah ana memperoleh Ijazah Penghuni Muda Syurga Firdaus dengan kepujian ? Terselamatkah ana dari terpaksa mengikuti kelas pemulihan di Neraka Allah ? Allahu Akbar..

    Insya Allah, sekalung Ijazah di dunia ini, akan ku cuba dapatkan sedaya yang mungkin. Tapi yang lebih utama adalah tadi. Ijazah suratan amal di tangan kanan (Ashabul Yamin) dan Kad Matrik ahli Syurga. Itulah yang paling wajar ana bermati-matian menggarapnya. Wallahu 'alam.

    Mohon diberikan kekuatan untuk mentaati Allah dalam apa jua keadaan. Diberi perlindungan dari syaitan yang sentiasa menyesatkan. Akhir kata, Tiada had umur dalam menuntut ilmu. Ilmu menjadikan kita lebih takut kepada Allah. Moga dikurniakan Hikmah sebenar ILMU itu. Amin.