Thursday, November 24, 2011

Berbaloi jika...

" Berapa yang saya perlu bayar ? "

" Ok, untuk bulan ni RM480 "

Dengan harapan yang menggunung tinggi, wang sejumlah itu dihulurkan.


Sebulan RM480 ? apa benda yang mahal sangat ni ?

Inilah jumlah yuran (kalau tak silap) yang perlu dibayar oleh ibubapa setiap bulan bagi seorang anak yang belajar di Sekolah Menengah Islam Hira' Jeram. (kalau untuk sekolah rendah, boleh rujuk kaunter kewangan).

Banyak ke sikit jumlah ni ? Wallahu 'alam. Bagi ana, jumlah itu sangat besar. Nak keluarkan sejumlah itu secara bulanan selama beberapa tahun... fuh ! sangat mencabar. Terutama bagi yang berpendapatan rendah. Itu baru seorang, kalau 2 orang, 3, 4, 5... Boleh botak kepala !! (utk org yg ada rambut shj).

RM480 (yuran sebulan) x 12 (bulan) x 5 (tahun) : RM28,800. = Insan Rabbani.

Inilah harapan yang menggunung tinggi itu. INSAN RABBANI !! Bukan sekadar menyejukkan mata ibubapa, malah memimpin ummah di persada dunia. Bagi ibubapa, RM28,800 (untuk seorang) itu agak kecil berbanding harga dan nilai peribadi Muslim itu.

Pemandangan sebegini, ana telah saksikan saban hari. Suasana ibubapa pelajar Hira' menjelaskan yuran pengajian anak-anak mereka. Walaupun raut wajah mereka tenang dan tersenyum, namun ana rasakan mereka pasti terasa berat untuk mengeluarkan wang tersebut.

Rasa-rasa la, kalau dikira jumlah total duit yuran itu, dan digunakan untuk kesenangan hidup, Macam mana agaknya kehidupan ibubapa kita ? Mungkin setiap tahun boleh pergi melancong luar negara. Boleh beli rumah besar. Wallahu 'alam.


Apa-apa pun, itu pilihan mereka dan itu juga tanggungjawab mereka. Benarlah kata orang, harta itu banyak dihabiskan untuk membina generasi seterusnya. Harta ayah >> anak. Tanggungjawab dan pengorbanan mereka itu, kita doakan agar Allah s.w.t terima sepenuhnya.

Persoalannya, adakah anak harapan mereka itu sedang berusaha menjadi Insan Rabbani ? ataupun dengan kealpaan jiwa remaja, dalam tak sedar, sedang membakar hangus setiap helaian wang yang dikeluarkan ibubapa mereka ?

Ada juga ibubapa yang terpaksa berhutang kerana tak mampu untuk membayar kos pengajian pada waktunya. Adakalanya tertangguh selama beberapa bulan dan mereka telah berusaha sedaya upaya melunaskannya. Asalkan anaknya dapat belajar. Namun perkara itu, dirahsiakan dari kita (anak-anaknya).

Amat malang bagi mereka yang tidak bersungguh-sungguh untuk belajar dan mendidik diri, sebagaimana ibubapa mereka bersungguh-sungguh membayar yuran pengajian anak mereka. Mereka buat kerja mereka, kita buat kerja kita.

Sedarlah sahabat-sahabatku. Hargailah titik peluh ibu ayahmu. Jangan kau hampakan mereka. Ada peluang, kita sendiri yang menghulurkan wang yuran itu (wang ibubapa) di pejabat kewangan. Rasakanlah betapa 'berat'nya wang itu, betapa tingginya harapan mereka dan betapa hinanya keadaan kita yang sebenar di sekolah.

Ayuh, ubahlah dirimu. Jadilah orang yang mengenang budi.. Jadilah INSAN RABBANI !!

Tuesday, November 22, 2011

Next challenge

Sangat mencabar rasanya untuk membentuk peribadi orang lain dan dalam masa yang sama, diri sendiri lebih utama lagi. Semakin kita mendalam kenal seseorang itu, semakin banyak kelemahannya yang ditemui. Maka, kerja kita bertambah banyak dalam membentuk peribadi muslim.

Tak hairanla, kenapa ia (Dakwah) dikategorikan sebagai amalan yang terbaik berbanding amalan yang lain. Dan ia juga merupakan tugas utama para Rasul Allah. Membacakan, menyucikan dan mengajarkan. Ganjaran yang dijanjikan sangat lumayan. Memang jualbeli yang untung GILER !!

Cuma penyakit Riya' (suka orang tengok amalan kita) senang sangat datang. Tak pernah walau sekali pun kita jemput. Suka hati dia je nak datang. Ada kalanya bertenggek sekejap, ada kalanya lepak-lepak dan paling dahsyat, terus buat macam rumah sendiri. Habis huru-hara rumah (hati) kita. Bila dah bersepah, kena ada semangat dan mujahadah untuk kemas balik rumah tu seperti sediakala.



Paling pantang, bila ada orang puji ataupun bila kita perlu untuk melaporkan dan berkongsi dengan ikhwah kita, apa yang kita dah buat. Time tu, 'Ujub (rasa hebat diri) pula yang datang. Aduih.. ramai betul pendatang asing. Terpaksa minta tolong Istighfar untuk halau Si 'Ujub tu.

Tak nak la, bila di hadapan Allah nanti, Semua kerja dan titik peluh kita, Semua masa, tenaga dan harta yang kita korbankan, Allah enggan terima disebabkan kunjungan Si Riya' dan 'Ujub tadi. Padahal kerja tadi sebaik-baik amalan, tapi jadi habuk sebab penyakit-penyakit hati.


Berdasarkan perenggan pertama tadi, diharapkan ramai insan boleh mengenali ana secara mendalam. Dengan niat untuk membantu, tolonglah cari, cungkil dan keluarkan mana-mana 'nanah' yang tertanam dalam diri ana. Satu perkara yang baru ana sedar. Bila kita nampak soleh (ana rasa la, tak tahu orang lain mcmmana), Tiada orang nak beri teguran dan nasihat. Yang ada hanya pujian.. Kalau boleh, biar la seimbang.



Kadang-kadang rasa rindukan perhatian dan teguran sahabat-sahabat dan murabbi-murabbi waktu diri masih lalai dan jahiliyyah dulu. Wallahu 'alam, mungkin ini next level punya cabaran. Allah knows the Best. I'm just His slave. Anyway, I have to struggle until I meet Him. O Allah, please accept my worship. Amin.

Tuesday, September 20, 2011

Ada tak niat itu ??

Bismillah.. setelah kian lamanya tidak menulis, setengah tahun jugak rasanya.. Alhamdulillah berkesempatan juga ana.

Ana kongsikan pemerhatian ana terhadap satu peristiwa yang telah menggerakkan ana untuk menulis. Peristiwa itu berlaku pada hari Sabtu, 17 September lepas.

Setelah kepenatan mencari buku di Kompleks PKNS Shah Alam, ana terdetik untuk berehat sambil beribadah di Masjid Negeri. Ketika nak parkir kereta, terkejut dengan bilangan kereta yang ada di perkarangan masjid, hatta melimpah-limpah ke luar kawasannya. Ada apa ni ??

Dengan ketentuan Allah, dapat juga parkir kereta di dalam kawasan masjid. Kelihatan ramai jema'ah berselubung kain ihram dan melakukan tawaf mengelilingi replika Ka'abah. Ana pun segera ke situ.

Subhanallah... hampir 4 ribu orang menyertai Kursus Perdana Haji di bawah seliaan Tabung Haji. Tak kira lelaki perempuan, tua muda, kaya miskin, semua lapisan masyarakat turut serta.


Ana memerhati setiap wajah yang bertawaf. Subhanallah.. tak semena-mena, ana terharu dan menitiskan air mata. Melihatkan wajah-wajah warga emas yang termengah-mengah, keletihan melaksanakan LATIHAN Tawaf dan Sa'ie. Ada yang berehat sebentar, ada yang tercari-cari suami kerana terpisah, ada yang dipapah orang, ada yang ditolak dengan kerusi roda dan berbagai keadaan lagi.

Ana agak risau akan keadaan mereka dalam Ibadah Haji yang sebenar nanti. Mungkin tiada masa dan ruang untuk berehat. Tiada peluang untuk mencari orang yang terpisah. Dihimpit-himpit. Itu belum lagi jika ada orang yang pentingkan diri dan bertindak kasar ketika Tawaf dan Sa'ie. Moga Allah melindungi jema'ah Haji.


Ana cukup kagum dengan kesungguhan mereka. Biarpun dimamah usia, namun RUKUN ISLAM ke-5 itu wajib ditunaikan setelah cukup syaratnya. Mungkin ada yang akan berkata :

" Kenapa tak buat haji waktu muda ?? bila dah tua ni kan payah.. "

Ada juga kebenarannya di situ tapi bagaimana pula jika waktu muda-muda , ekonomi masih belum kukuh. Terutama golongan yang berpendapatan rendah seperti petani, nelayan dsb. Ditambah dengan faktor kos menunaikan haji meningkat setiap tahun. Akhirnya bila dah tua, baru ada rezeki dan kemampuan itu. Sebagai contoh, baru ada anak-anak yang sanggup tanggung perbelanjaan.


Bila difikirkan, kekuatan untuk mengingati suatu perkara makin berkurang tatkala umur meningkat senja. Untuk melaksanakan ibadah haji, banyak syarat dan lafaz doa yang perlu ditunaikan. Bagaimana nak menyelaraskan antara kelemahan warga tua dengan tuntutan ibadah haji tersebut ?



Ana perhatikan ada seorang nenek tua yang ditolak anak lelakinya menggunakan kerusi roda. Nenek itu hanya berpandukan tunjuk ajar dan arahan anaknya. Ana terdengar perbualan mereka :

"Mak.. kat sini kita angkat kedua tangan hadap kiblat dan takbir ye mak.. "
" sampai sini kita baca doa ini ye mak.. "
katanya lagi.

Nenek tua itu menuruti setiap tunjuk ajar anaknya. Kalaulah anaknya tiada di sisi, pasti nenek itu tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Bagaimana pula jika Haji yang sebenar (bukan latihan) nanti, dia terpisah dengan anaknya ?? Moga Allah menerima setiap kelemahan hambaNya dalam ibadah haji itu. Amin..

Allah telah menyedarkan ana. Selama aku hidup, pernah tak aku berniat untuk menunaikan RUKUN ISLAM ke-5 itu ??

Kalau pernah, masih kuatkah niat itu ?? Atau aku telah lupa dan lalai dengan godaan dunia ?? Pernahkah aku berusaha mencukupkan segala kemampuan menunaikan haji terutama aspek kewangan ?? Ataupun aku SENGAJA tidak mahu menabung agar kewajipan Haji gugur terhadapku ?? Astaghfirullah.. ampunkan daku ya Rabb..


Harapan ana agar seluruh tenaga muda yang mengalir dalam diri ini digunakan sebaiknya demi menjadi hambaNya yang taat. Terutama dalam usaha meletakkan Islam di tempat yang paling layak baginya, iaitu sebagai satu-satunya agama yang diredhai Allah. Islam itu paling tinggi !! Tiada yang lebih tinggi daripadanya !! Allahu Akbar !!

Monday, April 25, 2011

Bahagianya aku...

Di kala pemuda pemudi asyik bermain cinta...
Aku asyik mengejar cinta Allah dan RasulNya...
Bahagianya aku..

Di kala mereka terikat dengan janji-janji ingin sehidup semati...
Aku berusaha menunaikan janjiku untuk hidup-mati dalam dakwah
Bahagianya aku...


Di kala mereka menghabiskan duit demi merebut hati pasangan sendiri...
Aku membelanjakan hartaku, demi perniagaan yang tidak akan rugi...
Bahagianya aku...

Di kala mereka menangis ditinggalkan cinta kekasih...
Aku menangis, dambakan cinta yang Maha Pengasih...
Bahagianya aku...


Di kala mereka sedaya upaya memujuk kekasih kembali ke pangkuan...
Aku sedaya upaya memujuk manusia kembali ke pangkal jalan...
Bahagianya aku...

Di kala cinta mereka semakin hari semakin pudar...
Cintaku pada Allah dan RasulNya semakin hari bertambah mekar...
Bahagianya aku...



Selagimana Allah dijadikan tumpuan...
Selagimana RasulNya menjadi ikutan...
Selagimana Quran dan Sunnah menjadi pegangan...
Selagimana Dakwah jadi number one...

Selagi itulah aku rasa bahagia...
Bahagia yang sebenar-benarnya...
Kebahagiaanku ini pasti berterusan...
Terus sehingga merentasi alam(barzah) demi alam(akhirat)...

Ya Allah kekalkanlah kebahagiaan aku...
Dan limpahkannya kepada pembaca blog ini...

Thursday, April 21, 2011

Cabaran bekerja ??

Bismillah.. setelah lama tidak menulis. Asif jiddan jiddan.. Ye la baru sahaja jejakkan kaki di tanah air, sudah diberikan tanggungjawab-tanggungjawab yang berat. Walaupun masih dalam keadaan membiasakan diri dengan budaya @ suasana Malaysia yang telah lama ditinggalkan.

Perlu mengambil beberapa hari untuk mengimbas kembali perkara-perkara itu. Kalau bahasa komputernya, system restore.. hehe.

23 Mac 2011, tiba di KLIA. Mula bertugas sebagai Muallim (guru lelaki) di SRI Hira Batu Belah 5 hari kemudian. Bagi ana, ini peluang terbaik untuk ana mencari pengalaman bekerja walaupun masih tidak puas bercuti. Dalam tempoh ini, ana banyak berfikir dan memerhati.

Satu persoalan yang ana dapat timbulkan. Mungkin ianya tidak mampu dibayangkan golongan remaja @ pelajar. IPT mahupun sekolah. Mengalaminya sendiri sangat berbeza daripada mendengar dari orang lain.

Persoalan :

[Mampukah ana mengutamakan kerja dakwah @ tarbiyah yang tidak ber'upah' berbanding urusan kerja yang pasti diberi gaji ?? ]

[Mampukah ana terus thabat dalam amal dakwah ini lantaran tekanan bertubi-tubi di tempat kerja ?? Walaupun tidak sampai sebulan bekerja, ianya sangat terasa ]

[Dalam kesibukan bekerja, bila masa ana nak menuntut ilmu ?? Ilmu perlu ditambah.. bukan statik]

gambar hiasan

Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, Tetapkanlah hatiku di dalam ketaatan padaMu. Alhamdulillah kerana ana sedar akan hal ini sebelum ana berada di medan kerja yang sebenar. Ana masih seorang pelajar Universiti yang akan meneruskan perjuangan menuntut ilmu.

Bergelar seorang pelajar sangat seronok.. terlalu manis.. jauh sungguh bezanya dengan tanggungjawab seorang yang sudah bekerja. Apa-apa pun, bila tiba masanya, kita bekerja..

Dan di dalam kepenatan itu, hanya Ikhlas sahaja yang boleh menjadikan kita terus amanah dan istiqamah dalam beramal. Jika hanya kenikmatan dunia @ pujian manusia menjadi tumpuan kita, awal-awal lagi kita akan tersungkur. Dunia hanya sementara.. Nikmat datang dan pergi..

Tapi jika kita Ikhlas, kita akan yakin bahawa kerehatan dan kenikmatan yang sebenar-benarnya ada di sana.. Di syurga Allah s.w.t yang tidak ternilai harganya. Penat dan lelah itu yang kita perlu 'bayar' secara berterusan. Sehingga Allah 'mengambil' kita dari pentas ujian ini dan dinilai.

Tekanan di tempat kerja, tugasan membawa dua tiga halaqah, mengikut daurah dan katibah, akan terasa ringan dan pasti mampu dilaksanakan. Biarpun pada pandangan orang awam, " ini kerja gila lagi merugikan !! "... Tapi bagi kita " ini kerja biasa lagi menguntungkan ".

Kerana view kita sangat jauh ke hadapan.. merentasi alam dunia yang nyata ini. Yakin dengan apa yang Allah dan RasulNya janjikan di dalam Al-Quran dan Sunnah. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. Suburkan ia dalam hatiku Ya Allah.. amin

Saturday, March 19, 2011

Pengumuman...

Bismillah..

Insya Allah, jika tiada apa-apa yang menghalang.. Ana akan kembali ke Malaysia dalam masa terdekat ni.

Perancangannya mahu pulang bulan Ramadhan nanti, tapi kerana keadaan Yaman yang sudah diisytiharkan Darurat, kami terpaksa dihantar balik..

Apa-apa perkembangan tentang ana, akan diberitahu kemudian. Wallahu 'alam..

Wednesday, March 9, 2011

Khauf wa Raja'...

Bayangkan seekor burung yang sebelah sayapnya tidak berfungsi dengan baik, mampukah ia terbang dengan seimbang ?? Manakah mungkin.. pasti ia terhuyung-hayang.. pasti ia terdedah kepada bahaya..


Begitu juga Khauf wa Raja' (Takut dan berharap),

'Takut' yang dimaksudkan di sini ialah takut akan azab Allah. Manakala 'berharap' yang dimaksudkan ialah mengharapkan keampunan dan rahmat Allah.

Keduanya umpama sepasang sayap dalam kita beribadah. Jika keduanya tidak seimbang, kita dalam bahaya. Bahaya macam mana ??

Jika seseorang itu terlalu takut, rasa dosanya terlalu banyak dan mustahil diampunkan, takut azab Allah menyeksanya tiada henti, tanpa mengimbanginya dengan menyakini akan munculnya suatu harapan.

Kesannya, dia akan berputus asa. Lemah dan tidak bermaya. " Buat apa aku beramal ?? dosaku menggunung tinggi.. tak mungkin Allah maafkan.. Jadi, lebih baik aku berseronok puas2 sekarang sementara masih hidup..." katanya. Ini berlaku jika diberatkan sudut ketakutan itu.

Jika seseorang itu terlebih berharap, dirasakan amalan ibadahnya yang sedikit sudah memadai, dirasakan Allah pasti mengampuni dosanya walaupun ianya bertimbun-timbun, tanpa mengimbanginya dengan rasa takut kemungkinan taubatnya tidak diterima.

Kesannya, dia akan memandang keampunan Allah itu sesuatu yang sangat mudah diperolehi. Dia akan melewat-lewatkan taubatnya, dia over-confident (terlalu yakin) yang dia akan masuk syurga.

Lihat, betapa bahayanya 2 perkara ini jika tidak diimbangi.. sebagaimana seekor burung perlu mengimbangi sayapnya jika ingin terbang lurus.. Begitu juga kita jika ingin lurus atas jalanNya.

Apa yang perlu kita buat ??


Belajarlah mengimbangi 2 perkara ini. Jika rasa terlalu takut akan azab Allah, tambahkan rasa berharap akan keampunanNya. Dengan itu, kita akan berasa tenang kerana peluang itu masih terbuka.

Jika rasa terlalu yakin akan keampunan Allah, tambahkan rasa takut. Sedarkan diri bahawa keampunan itu tidak mudah dicapai. Fikirkan bagaimana jika amalan kita tidak diterima Allah. Dengan itu, kita akan lebih bersungguh dalam beramal dan menjaga keikhlasan.

Mahabbah (kecintaan kepada Allah) pula berfungsi sebagai kepala.. memandu hamba Allah menggapai redha Tuhannya. Mendekatkan kita kepada ketaatan dan menjauhkan kita dari dosa. Sepertimana tingkahlaku mereka yang bercinta.

Allah berfirman dalam surah Az-Zumar, ayat 9 :

يَحْذَرُ الْآَخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ

" Takutkan akhirat (azab di sana) dan mengharapkan rahmat Tuhannya "

Dari Anas r.a berkata, Suatu hari Rasulullah s.a.w menemui seorang lelaki yang sedang nazak, Rasulullah s.a.w berkata kepadanya : ((bagaimanakah keadaan kamu ?)). Lelaki itu menjawab : " aku takut dan aku berharap "

Maka Rasulullah s.a.w bersabda : (( Tidak berhimpun di hati seorang hamba seperti keadaan ini, melainkan Allah azza wajalla akan memberikan apa yang diharapkannya, dan memeliharanya dari apa yang ditakutkan. )) riwayat At-Tirmizi

Mari kita amalkan.. Wallahu 'alam..

Thursday, February 24, 2011

Bila ia dijadikan matlamat..


Duit.. harta.. wang..

Keperluan ataupun matlamat ??

Dalam dunia ni, ada beberapa golongan yang kita boleh simpulkan berdasarkan cara mereka memandang duit dan harta. Antaranya :

1. Harta sebagai keperluan hidup.

Inilah yang disarankan oleh Islam. Matlamat hidup mencari keredhaan Allah, dan harta hanyalah alat ataupun cara dalam mencapai matlamat itu.

Ya, kita letakkan satu had atau limit dalam mencari wang yang mencukupi keperluan kita. Jika ianya dah sampai had itu, tidak perlu lagi kita pening berfikir, resah gelisah dan kerah sepenuh tenaga untuk mencari harta. Dah namanya keperluan.

Namun, Tidak salah untuk kerja lebih demi dapatkan hasil yang lebih. Cuma tanggungjawab kita sangat banyak. Kalau sepenuh masa digunakan untuk mencari harta, bila lagi nak tunaikan ibadah fardhu seperti solat, puasa, zakat dan haji.

Kalau semua ibadah fardhu dah selesai, bolehlah gunakan masa yang ada untuk mencari duit. Tapi.. ha.... ada tapi jugak. Bekalan hari Akhirat lah yang sepatutnya kita kumpul lebih. Bekalan itu tidak dijamin cukup dengan amalan fardhu semata. Perlu ditambah dengan bonus-bonus ibadah sunat.

Kesimpulannya, harta di dunia hanya keperluan, 'harta' di akhirat adalah matlamat.. Sebab dunia hanya sementara manakala akhirat kekal selamanya.

2. Harta adalah matlamat hidup.

Ini penyakit kronik. Seluruh buah fikiran,tenaga dan masa dikerahkan demi mengumpul harta. Mencemarkan maruah diri dengan menjadi hamba kepada harta. Apa saja kata harta, dituruti secara membuta. Dari sudut lain, dia memperhambakan diri kepada nafsu.. sukakan harta adalah tuntutan nafsu.

Hosni Mubarak - bekas presiden Mesir

" Halal haram, apa aku peduli. Yang penting harta aku bertambah... yang penting aku kaya.. yargh !! Orang sekeliling aku miskin, apa aku kisah. Ini rezeki aku.. bukan rezeki mereka. Hahaha !!! " kata hamba harta itu.

Kesannya, bila terhalang atau tertutup salah satu jalan untuk mendapatkan harta, sebagai contoh yang berlaku sekarang di negara-negara Arab khususnya. Mereka enggan tinggalkan 'kerusi-kerusi' mereka kerana ianya saluran utama kekayaan mereka. Jika ditinggalkan, apa lagi peluang yang mereka ada.

Mereka jadi risau, tak tenang, takut dan macam-macam lagi emosi. Akhirnya, mereka mengadu kepada tuan mereka, siapa lagi kalau bukan nafsu. Hamba kepada nafsu la katakan. Nafsu pula sekutu syaitan.

Tindakan diambil. Tak ubah seperti syaitan. Mempertahankan pangkat mereka dengan menipu, meminta dibawa berbincang dan memberi jaminan akan meletakkan jawatan beberapa tahun lagi. Untuk apa ?? Untuk mengaut sebanyak mungkin harta sementara masih ada peluang.

Rakyat jadi marah. Tahu niat tersirat pemimpin mereka. Lalu terus mendesak sehingga pemimpin terdesak. Dirujuk lagi tuan mereka. Kini, tumbuhlah 'tanduk' Iblis atas kepala mereka. Tindakan lebih kejam diambil. Tentera dan polis dikerahkan mempertahankan pemimpin. Peluru hidup menembusi jasad-jasad rakyat. Misil-misil dilepaskan di celahan orang ramai. Yang mengingkari arahan, dihukum mati.

Moammar Gaddafi - pemimpin Libya

Tentera yang sepatutnya melindungi orang awam, bertindak sebaliknya. Cukai-cukai yang dikeluarkan rakyat, dijadikan peluru yang menghabisi nyawa mereka sendiri. Pemimpin tadi, dicela penduduk bumi. Hatta penghuni langit turut melaknatnya. Di mana lagi mukanya nak dihadapkan ?? Langit ?? Bumi ??

Semuanya berpunca dari hati. Pabila hati itu gelap, tiada Nur Allah menerangi, ia berpaling ke arah nafsu dan syaitan. Jadi hamba mereka. Mereka kata, jadikan harta itu matlamat hidup !! Hati tadi tunduk mengangguk. Kesannya mereka ini kaya dengan harta, tapi juga kaya dengan celaan dan hinaan manusia. Kaya tapi merana.

Akhir kalam, kita berdoa agar Allah menyelamatkan saudara kita di mana sahaja daripada pemimpin yang zalim. Kita juga berdoa agar tidak dibutakan mata hati kita tatkala dikurniakan harta yang banyak. Ingat !! Kerna tamakkan harta, hati buta. Kerna hati buta, diri lakukan dosa. Kerna berdosa, diri dibenci manusia.. Wallahu 'alam.

Thursday, February 3, 2011

Hangat menghangatkan...

Bismillah. Dengan nama Allah, yang maha berkuasa ke atas segala sesuatu. Perancangan dan kehendakNya, berlaku pergolakan di negara-negara Arab sekaligus menjadi tumpuan dunia. Tunisia, Algeria, Mesir, Yaman...

Asas kepada perubahan bermula dalam diri. Ia adalah asas yang perlu dititikberatkan demi menjamin perubahan yang kukuh dan berpanjangan.


Jika seseorang itu inginkan keadilan di negaranya, diri sendiri terlebih dahulu perlu berlaku adil, sama ada terhadap dirinya atau orang lain. Begitu juga dalam perkara menolak kezaliman dan sebagainya.

Allah berfirman :

" Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri merubah nasih mereka "

Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah berkata :

" Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman ke atasKu (berlaku zalim kepada hambaNya), Dan Aku menjadikannya haram sesama kamu. Maka Janganlah kamu saling berlaku zalim "

Hasan Hudhaibi berkata :

" Tegakkan negara Islam di hatimu, nescaya ia akan tertegak di bumimu "

Kita doakan keselamatan umat Islam di setiap penjuru dunia. Moga penat lelah, luka parah dan syahid fi sabilillah mereka diterima Allah. Syukurlah atas nikmat keharmonian yang masih lagi kita kecapi.

Wallahu 'alam. Yakinlah, kemenangan berpihak kepada Al-Haq dan orang-orang yang bertaqwa. Allahu Akbar !!!

Saturday, January 22, 2011

" Dia lebih baik daripada aku "

Menurut pemerhatian serta pengalaman ana yang sedikit ini, generasi pemuda semestinya mempunyai semangat beramal yang hebat dan paling maksima. Itu kelebihan pemuda. Senjata rahsia setiap kebangkitan.

Namun tersirat di sebalik semangat juang itu, satu penyakit yang timbul pabila berjumpa dengan ikhwah lain(baru dikenali). Penyakit, monolog-monolog hatinya :

" Ikhwah ye.. Hmm.. apa yang hebat pada dia ni ?? "

" Ni ikhwah baru.. biasa-biasa je kot.. aku lagi awal dapat daripada dia "

" Pakcik ni ikhwah lama, tapi takde amal-amal yang hebat pun. "

Dia mensyaratkan ada sesuatu perkara yang mengkagumkan pada ikhwah itu, baru dipandang tinggi. Jika tidak didapati, dirinya dirasakan lebih baik daripada ikhwah tadi ataupun kurang respect akannya.

" Dia lebih baik daripada aku " , sebuah syiar yang sepatutnya kita amalkan. Ianya bergantung kepada tahap tawadhu' dan kesucian hati kita. Setiap orang Islam yang ditemui, Kita rasakan dia lebih baik daripada kita.

Hatta terhadap muslim yang mungkin tidak jaga solat dan lakukan maksiat. Kita perlu letakkan satu persepsi bahawa, mungkin ada amalan dia yang kita tak tahu, malah ianya mungkin lebih hebat di sisi Allah daripada amalan-amalan kita.

Bila diri sendiri rasa lebih hebat daripada orang lain, itulah angin sepoi-sepoi hembusan takabur dan 'ujub dari syaitan. Lupa dirinya baik dan soleh kerana hidayah Allah. Lenyaplah ikhlas. Rosaklah amal ibadahnya. Kerna itu juga Iblis dilaknat. Rasa diri lebih mulia daripada Adam a.s.

gambar hiasan (motif : rasa hebat)

Bagi mereka yang sudah mengenali dakwah seawal usia remaja, perlulah melihat golongan yang lebih berusia daripada mereka dengan pandangan ini. Rasakan bahawa ada kerja dakwah mereka yang kita tak tahu. Malah boleh jadi ianya tidak perlu untuk kita tahu. Bak kata ustaz ana : " Tak menambah iman pun jika ambil tahu "

Ada orang tanya ana. Taqwa itu neraca bagi semua perkara dan tak mungkin kita tahu. Tapi bagaimana nak nilai amal dakwah kita ? Terima kasih sudi bertanya. So, jawapan ana semestinya kita menghukum secara zahir. Hanya itu kemampuan untuk kita menilai. Istiqamah dalam saf, Bertindak mengikut arahan, Tahap penerimaan mad'u dll.

Namun cubalah untuk letakkan bahawa " Ikhwah lain lebih baik daripada aku ". Bahkan mungkin keberadaan kita dalam saf ini, atas penat lelah dan titik peluh ikhwah tadi.

Mereka mengatur banyak perkara agar kita dapat beramal bersama mereka, tapi setelah mengenali dakwah, kita rasakan mereka seolah-olah tidak buat dakwah. Kita pandang rendah dan rasa diri hebat. Tariklah nafas sedalam-dalamnya. Banyak lagi yang kita tak tahu.

Para salafussoleh sendiri sangat menjaga amalan mereka dari diketahui orang. Amalan sunat secara sendiri dan sirri (rahsia) mereka perbanyakkan. Tapi secara zahirnya, orang tidak tahu amalan mereka. Adakah itu bermakna amalan mereka (salafussoleh) kurang dan tidak hebat ??

Ana nak tanya satu benda. Mana lebih kuat hujahnya, cth : seorang lelaki sedang memandu lalu terlanggar kereta di hadapan dan ingin membela dirinya.

Hujah 1 : " saya tak nampak awak pasang signal belok kiri. "

Hujah 2 : " saya nampak awak tak pasang signal belok kiri. "

gambar hiasan

Tentulah hujah kedua. Ini berdasarkan ilmu mantiq @ kalam. Hujahnya lebih kuat kerana dia nampak (dengan yakin) orang itu tidak pasang signal. Hujah pertama lemah, kerana dia kata 'tidak nampak' signal dan itu kesalahan dirinya. Boleh jadi signal telah diberikan tapi dia tidak perasan.

So, dalam bab ini. Hujah kita tidak kuat untuk memandang rendah amalan orang. Kita adalah orang yang mengatakan :

" Saya tak nampak pun amalan yang jadikan dia hebat. "

Akhir kata, yakinlah.. " Dia lebih baik daripada aku " Wallahu 'alam..

Sunday, January 9, 2011

Siapa hebat, siapa tak hebat...

Situasi 1

" Salam Mat, mlm ni ada pengisian kat luar. Jomla kita pergi.. "

" Wslm, siapa yang bagi pengisian ?? "

" Ustaz Kamal bagi !! "

" Wow !! ustaz Kamal !!.. mesti pegi ni.. dia tu ustaz-ustaz kita, sheikh kabir.. "

* * *

Situasi 2

" Salam Mat, mlm ni ada pengisian kat sekolah. Jomla... join. "

" Wslm, siapa yang bagi ?? "

" Hmm... Pakcik Hamdan.. "

" Ouw... hm.. dia ke ?? setahu ana, dia bukan ustaz-ustaz kita, Takpela, ana tanak gi.. "

* * *

Sahabat,

Situasi begini yang kadang-kadang berlaku. Bahkan mungkin kerap kali terjadi. Tak kira bangsa dan bahasa. Satu sikap memilih dan menghukum. Siapa hebat, siapa tak hebat.

Kalau hebat, aku dengar.. kalau tak hebat, aku buat-buat dengar.. ataupun tak pergi langsung, jimat masa.. Bila orang yang dirasakan hebat menyampaikan, ramai pendengar hadir, hatta pendengar yang tak pernah kenal si penceramah pun hadir kerana dipromote habis-habisan. Bila penceramah sebaliknya, pendengar yang hadir boleh dibilang jari, kawan2 kata " jangan buang masa, jom lari.." (ini bukan situasi penceramah yang terkenal di media,radio dan tv.)

Biasanya kita kalau bercakap di hadapan, pesan kita, " Lihat apa yang dikata, bukan siapa yang berkata ", tapi kita tak sedar yang perbuatan kita dah menafikan pesan kita tadi. Sedar tak kita ??

Hebat dijadikan syarat untuk mengikuti dan mendengar pengisian. Hebat dari segi apa ?? Dari segi dakwah ?? Ramai mad'unya ?? Banyak istilah arab yang digunakan ?? Full time dakwah ?? Lulusan Azhar ??

gambar hiasan

Itu semua hanya ukuran pada kaca mata kita sahaja. Kita terlalu awal menghukum orang. Padahal neraca ukuran dan penilaian kita itu tidak tepat. Neraca yang paling tepat, hanya Allah sahaja yang dapat menilainya. Itulah TAQWA. Firman Allah, surah al-Hujurat :

" Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu, adalah mereka yang paling berTAQWA."

Orang yang paling mulia, tentulah dia yang paling hebat. So, Kita tidak boleh kata seseorang itu tidak hebat, sebab kita tidak tahu tahap ketaqwaannya. Dan belum tentu amal yang dikatakan hebat itu diterima Allah atau tidak.

Kita lebih respect orang yang beri pengisian bertajuk "Dakwah Fardiyah" berbanding pengisian bertajuk "Kaunseling dan Pembimbing rakan sebaya". Padahal ianya berbeza istilah mungkin kerana latar belakang pendidikan dan pengkhususan orang tersebut. Dan, antara 2 tajuk ini saling kait-mengait. Persoalannya, kenapa seorang lagi dipandang rendah ??

Siapa kata orang yang ramai mad'u lebih mantap dakwahnya daripada yang kurang mad'u. Siapa kata lulusan Timur Tengah lebih hebat daripada lulusan Negara Barat. Siapa yang berkata sedemikian, Siapakah dia ?? Adakah dia tahu tahap TAQWA seseorang ?? Seolah-olah dia meletakkan dirinya setaraf dengan Allah, kerna mengatakan dia hebat dan dia tidak.. Na'uzubillah..

gambar hiasan

Dalam hal ni, kita selaku pendengar perlu ubah sikap. Ubah perangai suka menghukum orang dan menentukan level. Gara-gara sikap inilah, umat berselisih malah bergaduh besar dalam masalah Ali r.a. dan Muawiyyah r.a. Siapa benar siapa salah. Itu yang disibukkan.

Padahal siapa kita, siapa Ali r.a. dan Muawiyyah r.a. ?? Mereka berdua Sahabat Rasulullah s.a.w, hidup di zaman turunnya wahyu, sedangkan kita hanya umat biasa di zaman fitnah besar. Dan kita pula yang sibuk2 nak hukum Sahabat Rasulullah s.a.w. Tak malu ke kita ??

Suka kah kita, orang lain menghukum kita pada masa akan datang. Ketika kita sudah jadi penceramah nanti, ada suara-suara mengatakan "dia ni tak hebat.. tak pelah, kita bagi chance, kita dengar.." Pasti sedih, marah dan terasa hati. Formulanya senang sahaja. Tak nak orang buat kat kita, jangan buat kat orang lain...

Akhir kata, minta maaf di atas kekasaran bahasa. Moga kita ambil faedah yang banyak. Jadilah pendengar yang baik, tidak mudah menghukum.. Neraca kehebatan adalah TAQWA. Ramai mad'u bukan satu-satunya penentu kehebatan, boleh jadi ianya istidraj. Ana menulis dan menasihat, selaku orang yang pernah dijangkiti penyakit ini. Harapan besar untuk menyedarkan orang lain. Wallahu'alam.

p/s : memilih penceramah dibolehkan jika ianya berlainan fikrah, demi menjaga fikrah agar tidak bercampur-aduk. Ini pendapat ana.

Sunday, January 2, 2011

Ibadah Hati : Redha dan berserah

Post Ibadah Hati yang lepas mengenai Tawakkal. Setelah kita bertawakkal, sesuatu keputusan atau ketentuan terjadi, ,maka ada satu lagi tindakan perlu kita ambil. Itulah REDHA.

Redha dan berserah kepada Allah di atas segala yang berlaku, baik mahupun buruk. Izinkan ana gunakan ejaan 'redha' kerana ejaan yang betul dalam bahasa melayu ialah 'reda'.

Pertama sekali, kita kena sedar siapa kita di sisi Allah. Kita adalah hambaNya. Tidak lebih dari itu. Apakah seorang hamba boleh mengingkari arahan tuannya, apatah lagi pantas menghina ?

Tapi itulah yang berlaku pada kita selaku manusia. Ada yang bila ditimpa musibah seperti kematian orang tersayang, tidak boleh menerima hakikat itu. Dengan berani dan lupa diri, dia menyalahkan Tuhan kerana mengambil nyawa orang kesayangannya. Padahal Tuhan memiliki segalanya. Nyawa kita juga milik Allah dan Allah berhak mengambilnya bila-bila masa.

Tentang rukun Iman, antara isi sabda Baginda s.a.w :

الإيمان بالقدر خيره وشره

[beriman dengan Qadar (ketentuan Allah) baik dan buruk.]

Memang kelemahan kita. Diberikan nikmat, sangat redha akannya. Ditimpakan musibah, sukar terima kenyataan (tidak redha). Itu tanda iman kita lemah. Sepatutnya kenikmatan mahupun musibah, kita terima semuanya. Selaku manusia, pengetahuan kita terlalu cetek. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Satu contoh ana berikan.

Seorang usahawan yang sangat kaya. Perniagaan bertambah untung hari demi hari. Sehingga satu masa, dia hadapi masalah lalu diisytihar muflis. Sedih tak terhingga. Pada pandangannya, ia keburukan semata. Tiada langsung kebaikan.

gambar hiasan

Tetapi Allah lebih sayangkan hambaNya itu. Allah tahu jika dibiarkan perniagaannya maju, itu penyebab dia menjadi ahli neraka. Kerana itu, Allah mentakdirkan dia muflis di dunia supaya tidak begitu di akhirat kelak. Lihat sejauhmana rahmat Allah. Syurga Allah bukan murah. Pengorbanan yang 'mahal' dituntut.

Ada satu kisah. Seorang muslimah berjalan di jalanan yang tidak rata. Tiba-tiba muslimah itu jatuh terlanggar batu. Kakinya cedera sehingga tercabut kuku jari kaki. Darah mengalir. Muslimah itu bangun, lihat kecederaannya lalu tersenyum. Orang-orang yang melihat insiden itu berasa sangat pelik. Salah seorang bertanya kepada muslimah itu. Lalu dijawab :

" Sukar untuk aku jelaskan. Tapi aku rasakan suatu kemanisan. Kemanisan redha dan pahala telah mengatasi rasa sakit ini. Aku suka apa yang Allah pilih dan tetapkan pada aku. "

Susah nak dibayangkan keadaan ini. Tahap redha dan berserah kepada Allah sangat tinggi. Kemanisannya menghilangkan kesakitan. Semua yang berlaku (ketentuan Allah) dirasakan terbaik untuknya. Sehingga ada seorang salafussoleh terluka di tangannya. Dia senyum lalu berkata :

" Alhamdulillah, aku hanya terluka di tangan. Bukan di mata. "

Mereka sangat berfikiran positif. Tapi kini ramai yang sebaliknya. Gagal dalam peperiksaan dirasakan seolah-olah tiada lagi harapan. Fikirlah positif. Berusaha. Hasilnya nanti kita redhai.

Kisah terakhir. Ada 3 orang bersembang sesama mereka. Berbual tentang panjang-pendeknya umur. Mana lebih baik. Masing-masing keluarkan pendapat sendiri.

" Aku harap umurku panjang. Sebab aku nak gunakannya untuk banyakkan ibadah aku, bersolat, sedeqah dan macam-macam lagi. Jadi jika diberi peluang, aku nak hidup lama." kata orang pertama.

" Aku harap umurku pendek. Sebab aku khuatir jika hidup lama, aku terdedah kepada fitnah dunia lantas banyak melakukan dosa dan maksiat. Aku pilih mati awal sebelum dosa aku makin bertambah. " jelas orang kedua.

gambar hiasan

Orang ketiga diam berfikir. Mereka berdua tertanya-tanya apa yang bakal dikatakan. Dengan menarik nafas panjang, katanya :

" Aku meletakkan panjang atau pendeknya umurku pada Allah. Kerna Allah lebih tahu yang terbaik. Aku redha dengan apa yang Allah redha padaku. "

Itulah jawapan paling tepat. Redha dan berserah sepenuhnya pada Allah. Dalam semua sudut. Hidup mati, berjaya gagal, susah senang, sihat sakit dll. Siapa kita berbanding Allah untuk tidak setuju dengan ketentuanNya ?? Atau dalam bahasa kasarnya " cermin diri dulu la !! "

Namun bukan redha dengan maksiat yang kita lakukan. Bukan juga redha dengan kezaliman musuh terhadap kita. Ingat itu. Tiada istilah redha dengan kebatilan dan thaghut. Tiada istilah baik dalam melakukan dosa. Syaitan bijak memutarbelitkan. Itu bukan redha tapi putus asa. Itu bukan petunjuk iman tapi telunjuk nafsu.

Redha dalam erti kata yang sebenar. Redha dan berfikiran positif. Redha dengan kegagalan tapi pantang mengalah. Malah berusaha untuk berjaya selagi mana peluang itu ada. Alhamdulillah, redha dan berserah saja dikira ibadah di sisi Allah dan bakal diganjari pelakunya. Insya Allah, sama-sama kita amalkan. Wallahu 'alam..