Monday, November 30, 2009

Eid Adha di Yaman


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd. Kalimah takbir lambang kebesaran Allah ini sering berlaungan di seluruh dunia…

Puasa hari Arafah diberi perhatian…

Sedeqah kepada yang memerlukan dihulurkan…

Bunyi kambing-kambing kedengaran di kebanyakan rumah… Kambing-kambing itu menanti tujuan penciptaannya ditunaikan… iaitu untuk dijadikan korban…

Harga barang melonjak naik… kebanyakan kedai ditutup…

Jalan yang sesak mula lengang… tiada lagi kedengaran bunyi hon berbalasan…

Yang berkesempatan, pulang ke kampung halaman… Yang tidak, berkumpul sesama mereka..

Hubungan yang rapuh dieratkan… Yang salah dimaafkan… Yang tidak dikenali dita’aruf… Terjalin Ukhuwwah Islamiyah… Tenaga disatukan… Menumbangkan binatang korban… Hasil korban diagih-agihkan…

Teringatkan ibu pertiwi… dan keluarga sentiasa dekat di hati… dengan handset mereka dihubungi… Suara ummi dan abah tersekat-sekat didengari… Masalah sistem perhubungan kini kembali… Namun peluang yang ada segera dinikmati…Bertanya khabar kasih bersemi… Walaupun sebentar terubat rindu di hati…

Begitulah serba sedikit keadaan di Yaman menjelang Aidil Adha… Kami bersama student Jamiah Iman, berpeluang mengorbankan 5 ekor kambing. Kambing dibela di halaman rumah selama lebih kurang 3 hari. Hidup dengan kambing. Inilah sunnah para Anbiya terdahulu. Kebanyakan Anbiya a.s. merupakan pengembala kambing. Alhamdulillah kami berpeluang merasai sunnah ini.

Setiap malam, kami bergilir-gilir tidur dalam khemah untuk berjaga malam. Agar kambing tidak dicuri. Ditambah dengan cuaca yang menyengat kesejukannya. Supaya ibadah korban tidak tergendala.. Akhir kalam, Selamat Menjalani Ibadah Korban… Taqabballahu minna wa minkum. Wallahu ‘alam..

Sunday, November 22, 2009

Ketaatan kerana cinta..


Ketika Nabi Ibrahim a.s. membawa isteri dan anaknya, iaitu Hajar dan Ismail a.s. (yang masih menyusu) ke Makkah, Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan mereka berdua di sebuah rumah (bukan macam rumah sekarang) di bawah pokok yang besar. Tiada seorang manusia pun di Makkah, tiada sumber air, Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan sedikit kurma dan air untuk mereka berdua.

Kemudian Nabi Ibrahim a.s. pergi ke tempat lain (dikatakan ke Palestin), maka Hajar ingin mengikutnya.. Hajar berkata :

“ Wahai Ibrahim, ke mana kamu nak pergi dan tinggalkan kami di lembah ini yang tiada manusia dan tiada apa-apa ?? “

Hajar mengulangi pertanyaannya beberapa kali namun Nabi Ibrahim a.s. tidak pun menoleh kepadanya. Maka Hajar bertanya lagi :

“ Adakah Allah memerintahkan kamu perkara ini ?? “

“ Benar ” jawab Nabi Ibrahim a.s.

“ Kalau begitu, ini tidak merugikan kami ”

Maka Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan isteri tersayang dan anaknya yang masih kecil di sebuah lembah yang tidak terdapat apa-apa kehidupan. Setelah terpancutnya telaga zamzam, maka bermulalah kehidupan di lembah itu. Kemudian datanglah orang-orang dari Yaman ke Makkah dan seterusnya membawa bahasa arab di bumi Makkah.. *

*asal-usul bahasa arab adalah dari Negara Yaman… Nabi Ismail a.s. merupakan nabi pertama yang bertutur dalam bahasa arab.

Ketika Nabi Ibrahim a.s. kembali semula ke Makkah, Nabi Ismail a.s. telah pun mencapai umur yang mampu berjalan dan menolong melakukan sesuatu pekerjaan. Maka Nabi Ibrahim a.s. berkata kepadanya :

“ Wahai anakku, sesungguhnya aku lihat di dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu, maka apakah pendapatmu ?? ”

# perhatian !! : mimpi para nabi adalah wahyu..

“ Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu, insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar. “

Maka Nabi Ibrahim a.s. telah bersedia dengan pisau di tangannya dan Nabi Ismail a.s. meletakkan dahinya di atas tanah, Ketika itu, turunlah wahyu dari Allah yang menyatakan bahawa telah berjaya ayah dan anaknya itu dari ujian Allah yang sangat berat. Lalu Allah menggantikan Nabi Ismail a.s. dengan seekor sembelihan.. Kerana itulah Nabi Ibrahim digelar Khalilullah (kekasih Allah) lantaran kecintaanNya kepada Raja segala raja.

Sahabat ana sekalian, kisah ini memang dah banyak kali kita dengar dan baca dari sumber yang banyak. Tapi di sini, ana nak kita teliti secara mendalam kisah agung ini.

Apakah perasaan seorang isteri ditinggalkan suami, dengan anak yang masih kecil di pangkuan, ditinggalkan di tempat yang tiada hidupan ?? Ok la, bayangkan sepasang suami isteri dan seorang anak kecil bermusafir menaiki kereta, kemudian bila sampai di tempat yang tiada orang, tiada kedai dan makanan, si suami suruh isteri dan anak kecil itu keluar dari kereta, lepas itu si suami memandu kereta meninggalkan isteri dan anaknya.. Mesti si isteri akan takut, bimbang, bagaimana untuk hidup selepas ini..

Beberapa tahun kemudian, si ayah kembali ke tempat di mana isteri dan anaknya ditinggalkan. Dia mendapati anaknya sudah pun besar. Tiba-tiba, dia nak sembelih anak dia sendiri.. Si anak telah lama ditinggalkan ayahnya, terdapat kekosongan kasih sayang seorang ayah di hatinya, bila ayahnya kembali kepadanya, anaknya bakal disembelih.. Kalau manusia biasa diuji sebegini, nescaya si anak akan membantah sekeras-kerasnya, dan mungkin tidak menghormati apatah lagi menyayangi ayahnya..

Tapi subhanallah, ujian yang sangat berat ini Allah timpakan ke atas Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. yang sangat taat akan perintahNya. Nabi Ismail a.s. diperintahkan untuk disembelih dalam keadaan Baginda tidak pernah melakukan dosa kepada Allah, malah Baginda memberikan semangat dan meniupkan keberanian kepada ayahnya untuk melaksanakan amanah Allah itu.

Sahabat ana sekalian, setiap tahun kita akan menyambut dua perayaan, Eid Fitri dan Eid Adha.. Sebagai seorang muslim, kita mesti tamayyuz (berbeza) daripada mereka yang tidak beragama Islam. Non-muslim menyambut perayaan mereka dengan tarian,nyanyian dan perkara yang melalaikan. Kita perlu menghayati dan menjiwai roh Eid Adha itu sendiri. Tatkala kita menyembelih binatang korban, kita bayangkan kisah Nabi Ismail a.s. , Kita bayangkan betapa beratnya ujian Allah kepada mereka, Kita laungkan kalimah takbir dengan penuh rasa ketundukan dan ketaqwaan, kita bersyukur kerana kita mengikuti sunnah yang mulia ini, kita berdoa agar sunnah ini sentiasa dihidupkan dari generasi ke generasi, kita memohon pertolongan Allah agar diberikan kekuatan dalam menempuhi ujian Allah dan berjaya sebagaimana Nabi Ibrahim a.s dan kita bercita-cita untuk duduk semeja dengan para nabi a.s. di syurga kelak.. Insya Allah. Wallahu ‘alam..

Rujukan :

- Al-Mustafad min Qasasil Qur’an (Dr. Abdul Karim Zaidan)

- Surah As-Saaffat ( ayat 100-108)






Thursday, November 19, 2009

Muhasabahku...

Bismillah.. dengan nama Allah, ana memulakan penulisan ana yang sudah agak lama tidak diupdate. Hmm.. Dalam bulan yang lepas, ana berkesempatan mengunjungi pesta buku antarabangsa Yaman yang diadakan selama lebih kurang 2 minggu. Tahun2 sebelum ni, ana pernah merasai suasana pesta buku di Malaysia.. Alhamdulillah, sambutan di Yaman ni memang meriah… Rambang mata pula bila nak pilih buku.. Ada pelbagai jenis buku yang datang dari seluruh pelusuk Negara Arab.. Akhirnya kita terpaksa menempuh dua cabaran..

1. Membelanjakan duit yang banyak untuk membeli buku..

2. Membaca buku dari kulit ke kulit..*

*merupakan cabaran yang sangat berat…

pesta buku di Yaman..

Halaqah Qur’an pada setiap pagi yang dijalankan sempena Program Tatbiq (praktikal) telah pun selesai.. Bila ana tasmi’ depan Amir (ketua) Halaqah, banyak lagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan dalam bacaan Al-Qur’an. Tajwid.. makhraj huruf dan lain-lain lagi.. Walaupun kita dah lancar dalam bacaan, tapi kadang-kadang ada perkara yang kita tersalah. Jadi kita perlu belajar dan memperbaiki bacaan kita sampai kita mati.. Ilmu kita tidak akan cukup..



Cuaca semakin hari bertambah sejuk.. dikenal pasti suhu pada waktu pagi serendah 6 ⁰C. Memang payah untuk bangun berjemaah Subuh di Masjid. Sentuh air sahaja sekaligus tangan menjadi kebas.. Apatah lagi kalau mandi pagi-pagi.. Memang azab..

Sekarang ni kita sudah pun berada di dalam bulan Zulhijjah. Bulan di mana disyariatkan ibadah haji di dalamnya.. Yaman merupakan jiran sebelah Negara Arab Saudi.. Barangsiapa yang berkemampuan menunaikan haji, wajib baginya melangsaikannya. Niat ditanamkan sedalam-dalamnya untuk menunaikan haji seberadanya ana di Yaman ini. Rasa rindu untuk melihat ka’bah yang selama ini kita menghadapnya di dalam solat, menziarahi makam Nabi s.a.w., melihat dan menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w dan para Sahabat radiallahu ‘anhum sehingga hari ini kita menikmati ‘buahnya’ . Alhamdulillah.. Doakan ana berkesempatan menunaikan haji semasa dalam perantauan ini.

Ana teringat satu kata hikmah yang ana tak pasti dari mana ana dengar. Kata hikmah itu lebih kurang begini :

“lihatlah siapa yang di bawah kamu dalam urusan dunia,

lihatlah siapa yang di atas kamu dalam urusan akhirat..”

Kadang-kadang mungkin kita ada rasa diri kita kurang dari banyak sudut.. mungkin muka kita tak secantik @ sekacak kawan kita, kita tidak sebijak orang lain,tidak mampu berbelanja sebagaimana kawan kita dan macam lagi perkara.. Semua ini termasuk dalam urusan dunia. Sepatutnya kita lihat dan bandingkan diri kita dengan mereka yang kurang sempurna daripada kita. Ada orang tidak mampu melihat, terpaksa mengemis di jalanan, cacat anggota badan dan macam-macam lagi ujian yang Allah timpakan atas mereka. Alhamdulillah kita ini ada penglihatan, boleh membaca, tiada kecacatan, sihat tubuh badan, ada peruntukkan ibubapa untuk belajar dll. Kita patut bersyukur sangat2..

Dalam urusan akhirat (ibadah) pula, terdapat orang yang rasa sudah memadai dengan amalan-amalan fardhu ataupun cukup sekadar membaca Al-Qur’an sehari semuka dll. Mungkin ada orang berkata :

“Aku baca Al-Qur’an sehari semuka cukup la tu.. Lagi bagus daripada

mamat tepi-tepi jalan yang tak sentuh Qur’an langsung…”

Memang benar kata orang itu, tapi kita sepatutnya membuat perbandingan diri kita dengan mereka yang lebih kuat beribadah daripada kita. Seorang muslim, semakin hari semakin bertambah kebaikan dirinya. Kalau kita rasa cukup sepertimana kata orang tadi, mungkin suatu hari nanti Mamat jalanan tu tidak menunaikan 3 waktu solat fardhu, maka orang tadi ada kebarangkalian untuk meninggalkan 2 atau 1 waktu solat fardhu. Ini pula katanya nanti:

“Aku tinggal satu waktu solat je.. lagi bagus dari mamat jalanan yang tinggal 3 waktu..”

Nampak tak kesan buruknya ?? Kalau kita lihat sirah bagaimana para sahabat berlumba-lumba dalam beramal. Masing-masing cuba meningkatkan ibadah mereka setiap hari. Lihat sahaja kisah Abu Bakar As-Siddiq dan Umar r.a. berlumba-lumba dalam bersedeqah. Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Umar r.a.

“ Apa yang kamu tinggalkan untuk anak dan isterimu ? “ tanya Rasulullah s.a.w kepada Umar r.a.

“ Aku tinggalkan sebilangan kecil harta untuk mereka.. “ jawab Umar r.a.

Rasulullah s.a.w. bertanya soalan yang sama kepada Abu Bakar As-Siddiq r.a. dan inilah jawapan Abu Bakar r.a.

“ Aku tinggalkan Allah dan Rasul-Nya untuk mereka “

Kita bayangkan betapa hebatnya mereka dalam meningkatkan amal ibadah mereka. Allah berfirman di dalam Al-Qur’an :

( فَاسْتَبِقُوا الخَيْرَات )

“ Maka berlumba-lumbalah kamu di dalam kebaikan” (Al-Baqarah : 148)

Oleh itu, marilah kita bersama meningkatkan amalan harian kita kepada Allah dengan menjaga amalan fardhu dan membiasakan diri dengan perkara sunat supaya kita semakin hampir dengan Allah, kita mengabdikan diri kita sepenuh hati kepada Allah, kita sayang ummi, abah dan adik beradik kerana Allah,kita hormati guru, ustaz dan orang yang lebih tua kerana Allah, kita belajar ilmu dunia dan akhirat agar kita menjadi orang yang lebih tawadhu’ dan mengamalkannya. Mudah-mudahan kita dimatikan dalam Husnul Khatimah (pengakhiran yang baik) dan seterusnya bertemu di syurga Allah bersama para Nabi, Sahabat dan orang-orang soleh. Insya-Allah. Amin.. Akhir kata, wallahu ‘alam.. ada kekurangan, boleh dikomen dan ditambah, ada kesalahan harap diperbetulkan. Jazakumullah..

Tuesday, November 10, 2009

Kisah Ikhlas...

Rasulullah s.a.w mengkhabarkan kisah 3 orang sahabat dari bani Israel bermusafir bersama. Dalam perjalanan tersebut, tiba-tiba awan menjadi gelap seolah-olah hujan lebat akan menyimbah bumi. Kemudian mereka membuat keputusan untuk berteduh di dalam sebuah gua.

Tiba-tiba terdapat sebiji batu yang sangat besar tergelincir dan menutup pintu gua. Kini mereka tiada pilihan melainkan meminta inayah daripada Allah s.w.t.

Apa kata kita guna amalan kita yang ikhlas untuk membebaskan diri daripada malapetaka ini. Cadang salah seorang daripada mereka. Yang lain bersetuju.

Lelaki pertama berkata,” Ya Tuhanku, Engkau tahu bahawa aku cukup tertarik dengan sepupuku. Pada suatu hari, aku melihat dia sendirian. Oleh itu, aku ingin melakukan perbuatan keji terhadapnya. Sepupuku berkata , Wahai sepupuku, takutlah akan Allah dan janganlah cemari kesucianku. Mendengar sepupuku berkata demikian, aku membatalkan keinginan jahatku itu. Ya Tuhanku, andai itu amalan yang benar-benar ikhlas dan dilakukan semata-mata mengharap keredhaanMu, maka jauhilah kami dari kesusahan dan neraka jahanam. “

Kemudian mereka menyaksikan batu yang menutupi gua tersebut beralih sedikit dan ada sedikit cahaya yang memancar masuk ke dalam gua.

Lelaki kedua pula berkata, “ Oh Tuhanku, Engkau tahu bahawa aku mempunyai ayah dan ibu yang sudah tua, hinggakan badan mereka bongkok akibat usia yang lanjut. Aku selalu menziarahi mereka . Pada suatu malam, aku bawakan kepada mereka makanan. Sebaik memasuki bilik, aku dapati mereka sedang tidur nyenyak. Kerana tidak mahu mengganggu mereka, aku menghabiskan sepanjang malam berdiri dekat dengan mereka dan makanan tadi masih di tanganku. Ya Tuhanku, andai amalanku itu dilakukan semata-mata mengharap redhaMu, maka keluarkanlah kami dari sini dan selamatkanlah kami.”

Sekali lagi mereka menyaksikan pintu gua berkuak sedikit.

Manakala lelaki ketiga pula berkata, “ Wahai Yang Maha Mengetahui, Kamu tahu bahawa ada seorang lelaki pernah bekerja denganku dulu. Apabila tamat perkerjaannya aku membayar gajinya, namun dia tidak berpuas hati dengan bayaran gaji yang aku berikan lalu berlalu pergi meninggalkan wang gajinya. Aku mengambil wang gajinya dan membeli seekor kambing. Aku memelihara kambing itu sehingga beranak-pinak membentuk sekawan kambing. Selepas ketika, lelaki tersebut datang menuntut wang gajinya yang terdahulu dan menunjukkan kepada sekawan kambing miliknya. Dia mengambil kambing-kambing tersebut dan berlalu pergi. Ya Tuhanku, andai itu amalan yang ikhlas di sisiMu, keluarkanlah kami dari kebingungan ini. “

Kemudian batu tersebut beralih sepenuhnya, dan mereka berjaya keluar dengan gembira.

-Tamat-

Bila ana baca tentang bab ikhlas ni, ana teringat satu kata hikmah yang selalu ana dengar dan guna sewaktu di bangku sekolah dulu,

مَا كَانَ لِلهِ دَامَ وَاتَّصَلَ وَمَا كَانَ لِغَيْرِ اللهِ اِنْقَطَعَ وَانْفَصَلَ

"Apa sahaja (yang dilakukan) kerana Allah, akan berkekalan dan bersambung (berterusan) dan Apa sahaya (yang dilakukan) bukan kerana Allah, akan terpotong dan terputus-putus.."

Memang benar, kalau sesuatu pekerjaan itu kita niatkan kerana Allah, insya Allah kita akan diberikan kekuatan untuk istiqamah dalam melakukannya. Tapi kalau kita melakukan sesuatu bukan kerana Allah, seperti kerana inginkan pujian, menarik perhatian seseorang, ataupun ingin balasan dari orang, Maka selalunya kita tidak berterusan dalam perkara itu. Wallahu ‘alam..

إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلهِ رَبِّ العَالَمِين

Kisah tadi dipetik dari majalah Solusi isu no. 11