Tuesday, November 10, 2009

Kisah Ikhlas...

Rasulullah s.a.w mengkhabarkan kisah 3 orang sahabat dari bani Israel bermusafir bersama. Dalam perjalanan tersebut, tiba-tiba awan menjadi gelap seolah-olah hujan lebat akan menyimbah bumi. Kemudian mereka membuat keputusan untuk berteduh di dalam sebuah gua.

Tiba-tiba terdapat sebiji batu yang sangat besar tergelincir dan menutup pintu gua. Kini mereka tiada pilihan melainkan meminta inayah daripada Allah s.w.t.

Apa kata kita guna amalan kita yang ikhlas untuk membebaskan diri daripada malapetaka ini. Cadang salah seorang daripada mereka. Yang lain bersetuju.

Lelaki pertama berkata,” Ya Tuhanku, Engkau tahu bahawa aku cukup tertarik dengan sepupuku. Pada suatu hari, aku melihat dia sendirian. Oleh itu, aku ingin melakukan perbuatan keji terhadapnya. Sepupuku berkata , Wahai sepupuku, takutlah akan Allah dan janganlah cemari kesucianku. Mendengar sepupuku berkata demikian, aku membatalkan keinginan jahatku itu. Ya Tuhanku, andai itu amalan yang benar-benar ikhlas dan dilakukan semata-mata mengharap keredhaanMu, maka jauhilah kami dari kesusahan dan neraka jahanam. “

Kemudian mereka menyaksikan batu yang menutupi gua tersebut beralih sedikit dan ada sedikit cahaya yang memancar masuk ke dalam gua.

Lelaki kedua pula berkata, “ Oh Tuhanku, Engkau tahu bahawa aku mempunyai ayah dan ibu yang sudah tua, hinggakan badan mereka bongkok akibat usia yang lanjut. Aku selalu menziarahi mereka . Pada suatu malam, aku bawakan kepada mereka makanan. Sebaik memasuki bilik, aku dapati mereka sedang tidur nyenyak. Kerana tidak mahu mengganggu mereka, aku menghabiskan sepanjang malam berdiri dekat dengan mereka dan makanan tadi masih di tanganku. Ya Tuhanku, andai amalanku itu dilakukan semata-mata mengharap redhaMu, maka keluarkanlah kami dari sini dan selamatkanlah kami.”

Sekali lagi mereka menyaksikan pintu gua berkuak sedikit.

Manakala lelaki ketiga pula berkata, “ Wahai Yang Maha Mengetahui, Kamu tahu bahawa ada seorang lelaki pernah bekerja denganku dulu. Apabila tamat perkerjaannya aku membayar gajinya, namun dia tidak berpuas hati dengan bayaran gaji yang aku berikan lalu berlalu pergi meninggalkan wang gajinya. Aku mengambil wang gajinya dan membeli seekor kambing. Aku memelihara kambing itu sehingga beranak-pinak membentuk sekawan kambing. Selepas ketika, lelaki tersebut datang menuntut wang gajinya yang terdahulu dan menunjukkan kepada sekawan kambing miliknya. Dia mengambil kambing-kambing tersebut dan berlalu pergi. Ya Tuhanku, andai itu amalan yang ikhlas di sisiMu, keluarkanlah kami dari kebingungan ini. “

Kemudian batu tersebut beralih sepenuhnya, dan mereka berjaya keluar dengan gembira.

-Tamat-

Bila ana baca tentang bab ikhlas ni, ana teringat satu kata hikmah yang selalu ana dengar dan guna sewaktu di bangku sekolah dulu,

مَا كَانَ لِلهِ دَامَ وَاتَّصَلَ وَمَا كَانَ لِغَيْرِ اللهِ اِنْقَطَعَ وَانْفَصَلَ

"Apa sahaja (yang dilakukan) kerana Allah, akan berkekalan dan bersambung (berterusan) dan Apa sahaya (yang dilakukan) bukan kerana Allah, akan terpotong dan terputus-putus.."

Memang benar, kalau sesuatu pekerjaan itu kita niatkan kerana Allah, insya Allah kita akan diberikan kekuatan untuk istiqamah dalam melakukannya. Tapi kalau kita melakukan sesuatu bukan kerana Allah, seperti kerana inginkan pujian, menarik perhatian seseorang, ataupun ingin balasan dari orang, Maka selalunya kita tidak berterusan dalam perkara itu. Wallahu ‘alam..

إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلهِ رَبِّ العَالَمِين

Kisah tadi dipetik dari majalah Solusi isu no. 11

1 comments:

Anonymous said...

Salam,akh..
Mohon dicopy kandungannya..
jazakallah..