Bismillah. Dengan nama Allah, aku menulis.
Alhamdulillah. Pada cuti semester
yang lepas (Jun 2013), berpeluang menyertai kembara dakwah di kawasan pedalaman
Sabah. Itu merupakan pertama kali ana jejakkan kaki ke Bumi di bawah bayu.
Apa yang menarik bagi ana, situasi
yang berlaku di sana ada banyak persamaan dengan Sirah Nabi s.a.w. Insya Allah,
ana kongsikan di sini.
Pertama,
Saudara baru kita di sana, walaupun
ilmu dan pengetahuan mereka tentang Islam sangat sedikit, mereka tetap sampaikan
Islam itu kepada orang lain. Bermula dengan ahli keluarga, jiran tetangga dan
kawan-kawan. Mereka menceritakan kebenaran Islam dan keindahannya dengan penuh
semangat. Malah mereka buktikan dengan kesungguhan mereka mempelajari,
melaksanakan ibadah dan membangunkan kehidupan mereka. Kampung mereka bertambah
bersih, mengecat rumah-rumah dan lain-lain lagi.
Pemandangan Kampung Padang : rumah dicat |
Begitulah yang berlaku pada zaman
Rasulullah s.a.w. di mana para Sahabat r.a. yang baru memeluk Islam, tanpa
bertangguh-tangguh, menyebarkan Islam kepada orang lain. Walaupun hanya
mengetahui satu ayat, Para Sahabat r.a. sampaikan kepada masyarakat Arab.
Maka, ana rasa sangat segan dan
malu kerana kita ini yang sudah lama memeluk Islam, mempelajari Islam sejak
sekolah rendah dan menghafal beberapa surah Al-Quran dan beberapa potong Hadis
Rasulullah s.a.w, Berapa sangat Islam
yang kita dah ceritakan kepada orang lain. Sedangkan Islam itu rahmat bagi
seluruh alam tapi seolah-olah kita hadkan rahmat itu hanya untuk diri kita
sahaja. Astaghfirullah.
Kedua,
Sepanjang
kami di sana, perjalanan kami ke beberapa tempat dibantu oleh mereka yang belum
Islam terutamanya sebagai pemandu kereta pacuan empat roda. Dalam kereta, kami
yang Islam ni banyak tidur terutama ana (huhu.. sebab pening2). Tapi
abang-abang tu (yang belum Islam) memandu kereta berjam-jam lamanya dan berjaga
demi kelancaran program kami. Mereka lebih banyak berkorban dan lebih letih berbanding
kami. Subhanallah.
Abg Julius (t-shirt merah), pemandu kami yang ketika itu belum Islam. Alhamdulillah yang latest, beliau dan isteri telah memeluk Islam. |
Begitu
jugalah yang berlaku pada peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w di mana seorang
pemandu arah diupah Baginda s.a.w. demi kelancaran Hijrah ke Madinah tersebut.
Allahu Akbar.
Maka,
kita selaku orang Islam. Sepatutnya kita yang lebih banyak membantu usaha-usaha
menyebarkan Islam kerana itu agama kita sendiri. Itu tanggungjawab dan amanah
kita sebagai khalifah. Tapi malangnya, realiti hari ini membuktikan bahawa
orang Islam sendiri juga yang menyusah-nyusahkan Islam dari dilaksanakan malah
ada yang menghalangnya. Innalillah.
Ketiga,
Di
sana, Ana dapat berkenalan dengan seorang pakcik yang baru memeluk Islam.
Diceritakan bahawa pakcik itu sebelum ini antara orang yang paling kuat
menentang Islam. Kalau nampak orang Islam je, dia rasa nak pukul. Tapi kini,
kalau ada orang menghina Islam, pakcik itu sanggup pukul orang tersebut.
Subhanallah.
Demikian
juga Para Sahabat r.a. sebagai contoh Umar al-Khattab r.a., beliau antara orang
yang paling memusuhi Islam dan bersungguh-sungguh ingin membunuh Rasulullah
s.a.w. Akan tetapi, selepas cahaya Islam menyinari hatinya, Umar r.a. adalah
orang yang paling berani mencabar mereka yang ingin menghalang Islam. Allahu
Akbar.
Mungkin ada banyak lagi persamaan yang ana tak sedar tapi
apa yang penting ialah kita mengambil pengajaran dari semangat dan usaha kuat
saudara-saudara baru SeIslam kita dalam mempelajari, melaksanakan dan
menyebarkan Islam. Ana yakin, alasan-alasan kita untuk mengelakkan diri dari
berdakwah selama ini tak boleh diterima. Mereka di sana telah membuktikannya.
Maka, apa lagi..dengan kemampuan kita, Jom sebar Islam !!!
0 comments:
Post a Comment